• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pulau Serai Tarikan Pelancongan Baharu di Dungun

DUNGUN,30 Oktober - Daerah Dungun bakal memiliki satu lagi tarikan pelancongan baharu apabila jeti kayu unik hampir siap dibina di Pulau Serai.

Pembantu Penyelia Hal Ehwal Belia i-MiTS Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang, Muhammad Irham Che Ghani berkata, pembinaan jeti berasaskan kayu yang bermula 14 Ogos lalu telah menjadi tumpuan ramai.

“Syukur alhamdulillah jeti hampir siap sepenuhnya dan memerlukan beberapa penambahbaikan sahaja lagi dari aspek keselamatan dan lain-lain. 

"Asalnya kita buat saja-saja sebagai tempat orang kampung bersantai, tapi mendapat perhatian warga Dungun sehingga jadi viral,” katanya kepada pemberita.

Jelasnya lagi, ramai yang datang ke jeti tersebut untuk bergambar dan tidak kurang juga menjalankan aktiviti penggambaran. 

"Selain dari itu, tarikan terbaru adalah ‘Dungun Water Taxi’ yang sudah memulakan operasinya," ujarnya.

Menurut Irham, ia mula beroperasi semalam dengan kadar bayaran dewasa RM5 dan kanak kanak RM2. 

“Trip pertama Water Taxi adalah jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengahari kemudian rehat dan bersambung jam 2.00 petang hingga 5.00 petang pula. Muatan bot seramai 15 orang sahaja," ujarnya. 

"Dengan pengangkutan air tersebut orang ramai berpeluang menyelusuri Sungai Dungun yang memakan masa hampir satu jam dan berhenti di tujuh perhentian dimana pengunjung juga boleh menikmati keindahan alam semulajadi kawasan sekitar,” katanya.