• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Pusat Khidmat, MPKK Jadi Pemudah Cara Rakyat

Haji Mohd Fazil Wahab ketika berucap dalam program Taklimat Peranan dan Kepimpinan Peringkat DUN Seberang.
Oleh : Hailmey Mansor

KUALA NERUS, 22 Oktober - Pejabat Khidmat Masyarakat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) disarankan menjadi pemudah cara dalam menyelesaikan masalah masyarakat.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir,Haji Mohd Fazil Wahab berkata, MPKK dan Pusat Khidmat seharusnya berkerjasama bagi memastikan agenda kerajaan dapat berjalan dengan lancar.

Hal itu, katanya agar bertepatan dengan motto kerajaan negeri iaitu Terengganu ‘Maju, Berkat dan Sejahtera’.

“MPKK dan Pejabat Khidmat merupakan orang suruhan kepada penduduk, kerana mereka adalah agensi kerajaan yang berada di kampung-kampung  dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat.


“Rakyat sedang menilai gerak kerja yang dilakukan oleh agensi itu kerana setiap aduan dan permasalahan diajukan terlebih dahulu kepada mereka,” ujarnya ketika ditemui selepas program, Taklimat Peranan dan Kepimpinan Peringkat DUN Seberang Takir di Dewan Amber, Scout Inn, Telaga Batin, Seberang Takir, di sini, kelmarin.

Menurut beliau, MPKK yang dijenamakan semula daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) ini perlu berperanan lebih baik dari sebelumnya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) negeri, Raja Arizal Raja Arif dan Pengarah Majlis Tindakan DUN Seberang Takir, Haji Zakaria Dagang selaku ahli panel dalam program tersebut.


Tag: