• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Pusat Perniagaan Binjai Rendah RM8.2 Juta Dijangka Siap Pertengahan 2018




Penduduk di Marang bakal menikmati kemudahan perniagaan lebih kondusif apabila Kompleks Perniagaan Binjai Rendah, yang bernilai RM8.2 juta dijangka siap menjelang pertengahan 2018 nanti.

Premis dua tingkat yang dilengkapi 42 unit lot kedai, sebuah kafe,  dataran, surau dan tandas bakal dibangunkan di atas tanah berkeluasan kira-kira 0.7 hektar.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, reka bentuk projek yang berkonsepkan pusat perniagaan moden merupakan satu medium yang menyediakan kemudahan kepada peniaga untuk mengkomersialkan produk masing-masing dan menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat sekitarnya.

“Projek dengan inisiatif bersama oleh YB A. Latiff Awang (Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan) sejak September yang lalu, bersama-sama dengan pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) Negeri Terengganu dan Pejabat Daerah Marang ini juga akan merangsang kerancakan pembangunan dan aktiviti di sekitarnya.

“Kemudahan ini sudah selesai direkabentuk oleh pihak perunding untuk direalisasikan pembinaannya dan bakal menjadi mercu tanda baru di Pekan Binjai Rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Peletakan Batu Asas Bangunan Komersil Binjai Rendah Marang di Pekan Binjai Rendah, Marang, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang.


Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, setiap Adun Barisan Nasional diberikan peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan sebagai mercu tanda di kawasan masing-masing sebanyak RM30 juta.

Katanya,  peruntukan RM30 juta  kepada setiap Adun dengan jumlah keseluruhan RM510 juta seluruh Terengganu itu akan diagihkan RM10 juta setiap tahun.

Sementara itu, A. Latiff berkata bagi DUN Pengkalan Berangan, selain RM8.2 juta dibelanjakan bagi membina pusat perniagaan berkenaan, RM1.8 juta lagi digunakan bagi membina jambatan dari Kampung Merchang ke Pulau Ragut, Merchang.

Selain itu, lebihan peruntukan sebanyak RM20 juta lagi akan digunakan untuk membina Kompleks Sukan di Wakaf Tapai merangkumi pusat boling , dewan futsal dan badminton yang bernilai kira-kira RM15 juta .

Katanya, projek-projek lain yang dirancang di DUN itu termasuklah membina Masjid Kampung Jerong Tuan dan membaikpulih bangunan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Binjai Rendah.





Tag: