• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Pusat Tahanan Khas: Exco Hargai Cadangan Hakim Mahkamah Syariah

Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Oleh: Nasir Abdullah

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah hari ini menzahirkan penghargaan kepada satu cadangan oleh Hakim Syariah Terengganu, berkenaan cadangan membina pusat tahanan khas bagi pesalah syariah.

Beliau yang bersetuju dengan idea itu menjelaskan, ianya bukan suatu tindakan yang keluar daripada undang-undang negara malah akan lebih membantu pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani jenayah.

“Kita tetap tertakluk kepada peraturan dan undang-undang Malaysia dan perlu mematuhi segala kehendak yang Kerajaan Malaysia inginkan dalam hal berkaitan dengan perlembagaan jika kita membina pusat tahanan ini.

"Cadangan hakim ini hanya ingin memisahkan mereka, banduan yang melakukan kesalahan syariah dengan sivil yang termaktub dalam perlembagaan yang boleh dilihat perbezaan hukumannya.

"Contohnya, kesalahan merompak, walaupun ia adalah salah satu cabang kesalahan hudud, namun dalam perlembagaan, kes ini mesti dibicarakan di mahkamah sivil dan bukan mahkamah syariah, itu kita maklum.

"Tetapi, apabila hukuman dijatuhkan, pesalah syariah seperti melakukan mukadimah zina dan dipenjara contohnya, sepatutnya diasingkan di tahanan khas kesalahan syariah, tidak diletakkan bersama banduan-banduan sivil ini di penjara," ujarnya.

Menurutnya, beliau maklum bahawa untuk kesalahan berat di penjara, banduan biasanya tidak akan disatukan, tetapi ianya lebih baik dipisahkan terus keseluruhan tempat tahanan mereka, pesalah sivil dan pesalah syariah.

"Ini juga sebagai menyahut saranan menteri agama untuk tidak memalukan pesalah syariah ini, kerana apabila diletakkan di penjara bersama pesalah sivil ini, maruah mereka dan keluarga lebih tercalar,” kata beliau ketika dihubungi di pejabatnya hari ini.

Cadangan mengasingkan pesalah syariah ini disebut oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamarulazmi Ismail sebelum membacakan penghakimannya  terhadap satu kes kesalahan persediaan untuk melacurkan diri di sini, semalam (11 Oktober).

Kamarulazmi dipetik sebagai berkata, keadaan kesalahan dan pemulihan bagi kes jenayah syariah berbeza dengan sivil, justeru sekiranya pesalah dijatuhkan hukuman penjara dia akan berdepan pelbagai risiko termasuk menyebabkan dibuang kerja dan sebagainya.

“Kesalahan syariah ini berbeza dengan sivil, kadang-kadang orang baik dan terpelajar melakukan kesalahan peribadi, contohnya kesalahan khalwat yang berpunca daripada iman individu yang lemah dan akibat daripada hukuman penjara itu akan memberi kesan seumur hidup terhadap masa depan pesalah,” katanya.

Untuk rekod, Kerajaan Terengganu pada pertengahan tahun 2002 dahulu, pernah mencetuskan idea yang hampir serupa, tetapi ianya tidak mendapat sokongan daripada PDRM, sekaligus mematikan hasrat itu.

Namun, Ustaz Mohd Nor optimis, PDRM akan membuka ruang perbincangan jika sekiranya kerajaan negeri mahu melaksanakan idea ini kerana ia sangat membantu PDRM dalam menghapuskan jenayah.

Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong itu juga menegaskan bahawa kerajaan negeri dengan enakmen yang ada, akan berusaha menghapuskan segala salah laku yang tidak sepatutnya terjadi, tetapi ia tidak bermakna hukuman itu akan berterusan secara tidak langsung.

“Rakyat telah melihat sendiri bagaimana sebatan syariah dibandingkan dengan sebatan sivil dilaksanakan, sehingga menutup mulut pengkritik yang mengatakan Islam itu zalim, yang sebenarnya hanyalah pembohongan mereka.

"Kerajaan negeri tegas dalam melaksanakan tanggungjawab, keadilan dan hukuman, tanpa kompromi, tetapi, tidak perlulah kita memanjangkan lagi hukuman kepada pesalah sebagaimana Rasulullah melarang pesalah zina dicaci maki, memalukan mereka setelah mereka menerima hukuman.

"Jadi, jika penjara itu memalukan mereka selepas mereka dijatuhkan hukuman, maka lebih baik mereka dipisahkan di suatu tempat khas, dan mereka boleh menjalankan kehidupan tanpa rasa malu selepas itu.

"Inilah antara keindahan Islam, manusia mesti dihukum sebagaimana yang disuruh Allah dan Rasul walaupun kelihatan berat pada fikiran kita.

"Dan setelah selesai dihukum serta bertaubat atas kesalahan mereka, mereka tiada lagi dosa kerana sudah diampunkan Allah, maka kita juga tidak boleh hina mereka,” jelas beliau.

Tag: