• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Puteri UMNO Hulu Sumbang Peralatan Sekolah Untuk Sekolah Terjejas Banjir

   

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu mengambil inisiatif mengumpul peralatan sekolah untuk disumbangkan kepada sekolah yang terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu.

Ketuanya, Rozita Ismail berkata, pihaknya berjaya melaksanakan program itu dengan sokongan orang ramai yang prihatin kepada murid-murid yang terlibat dalam bencana baru-baru ini.

"Kami memulakan kutipan serta mengumpulkan sumbangan peralatan sekolah sejak 5 Januari sehingga 11 Januari lalu dan mendapat reaksi positif daripada orang ramai termasuklah syarikat korporat,

"Ada yang memberi duit dan ada dalam bentuk peralatan alatulis. Sesungguhnya sumbangan kecil ini akan memberi makna yang besar kepada mereka yang memerlukannya,"katanya.

Beliau berkata demikian di Program Pasca Banjir `Kembali Ke Sekolah' dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu di Sekolah Kebangsaan Padang Setebu,Kampung Basong,hari ini.

Turut hadir,  Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Jalaluddin Ismail.


Dalam majlis itu, Rozita menyampaikan sumbangan barangan dan keperluan sekolah seperti beg, buku dan alatulis kepada 78 murid sekolah tersebut.

Katanya,rata-rata murid tersebut kehilangan kelengkapan persekolahan apabila rumah mereka ditenggelami banjir.

"Pihak kami mahu melihat murid-murid pergi sekolah dengan perasaan ceria dan bersemangat selepas trauma dengan bencana yang menimpa mereka," katanya.

Sementara itu, Jalaluddin menyifatkan program yang dianjurkan oleh Pergerakan Puteri UMNO ini adalah salah satu khidmat pasca banjir yang terbaik.

"Apa yang dibuat oleh mereka cukup hebat dan bermakna kepada anak-anak yang kehilangan peralatan sekolah mereka akibat banjir yang melanda rumah mereka.

"Saya lihat setiap mereka cukup teruja apabila mendapat apa yang mereka hilang baru-baru ini. Mereka juga ceria untuk kembali ke sekolah dengan semangat yang baru.Terima kasih sekali lagi atas perhatian yang diberikan oleh Rozita dan rakan-rakannya,"ujar Jalaluddin.

Tag: