• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Rekod Bukti Rasuah, Segera Lapor SPRM

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Orang ramai dinasihatkan merakam gambar atau video sekiranya melihat berlakunya sogokan atau aktiviti merasuah pengundi sepanjang kempen pilihan raya ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata semua pihak perlu berperanan bagi memantau insiden tidak sihat itu di tempat masing-masing.

"Dijangkakan pada hari akhir menjelang hari pengundian akan ada lebih banyak lagi aktiviti berupa sogokan dan politik wang ini, aktiviti rasuah akan berlaku secara berleluasa.

"Suka saya mengingatkan kepada pengundi sekalian untuk terus memantau insiden ini jika berlaku di tempat-masing sila rakam gambar ataupun bukti-bukti yang lain serta segera laporkan perkara tersebut kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang medianya, di Pusat Media PAS, di sini, semalam.

Tegasnya, adalah penting bagi setiap rakyat bagi memastikan mereka yang menang sebagai calon pilihan raya adalah mereka yang bersih dan berintegriti untuk dijadikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Kita tidak mahu calon itu menang kerana rasuah dan politik wang, pada ketika ini PAS Terengganu sendiri sedang meniliti beberapa insiden yang berlaku untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa.

"Kita juga ada membuat laporan polis dan SPRM dan ini akan menjadi bukti selepas Pilihan Raya. Kemungkinan petisyen akan berlaku, adalah lebih baik perkara ini dihentikan sekarang.

"Jadi saya serulah kepada pihak sebelah sana jangan mengamakan budaya rasuah ini kerana kita ada mata-mata ataupun wakil kita yang sedang mengekori dan menyiasat perkara ini," ujarnya.