• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Rakyat Terengganu Diseru Isi PRT20

KUALA TERENGGANU, 25 September – Semua warga Terengganu diseru untuk mengisi dan melengkapkan data Profil Rakyat Terengganu (PRT20) bagi mengelakkan sebarang keciciran dalam pelbagai sektor di masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, PRT20 telah diwujudkan pihaknya bagi mengumpul data penduduk supaya pentadbiran kerajaan dan kebajikan masyarakat dapat diperkasa. 

Katanya, PRT20 adalah rujukan kerajaan dan ‘platform’ untuk menyusun strategi yang berkait sosioekonomi, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, aktiviti-aktiviti pelancongan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Sistem ini turut berperanan untuk memastikan rakyat tidak tercicir dalam menerima bantuan disebabkan tiada data penduduk.

“Bagi fasa pertama, sasaran 30 peratus jumlah penduduk di seluruh Terengganu melibatkan lebih 1,000 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam tempoh September hingga Disember 2020, pengumpulan data kaedah manual secara rumah ke rumah memerlukan penduduk mengisi borang iaitu jenis pertama PRT20A (kad maklumat keluarga) dan PRT20B (borang individu).

“Fasa kedua pula dijangka pada Januari hingga 2021 sasarkan 50 peratus jumlah penduduk, dan Fasa ketiga pada tahun 2022 dalam 20 peratus.

“Proses pengumpulan data dijalankan oleh MPKK seluruh Terengganu, kemudian 16 orang petugas di pejabat pusat khidmat masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di 32 DUN terus ‘key in’ dalam sistem PRT20," katanya ketika bersiaran di Studio TVDI semalam.

Tambah beliau, PRT20 menjadikan Terengganu sebagai negeri yang pertama mempunyai sistem dan data profil secara berpusat di dalam satu pangkalan data.

Katanya, maklumat itu hanya boleh diguna dan diakses oleh kerajaan negeri untuk perangkaan strategi dan bantuan secara lebih terperinci tanpa penglibatan pihak ketiga.

“Buat masa sekarang, pihak kerajaan masih melihat keperluan bagi 300 hingga 400 ribu rakyat Terengganu di luar atau perantau dan kaedah pengisian borang secara online melalui aplikasi seperti Telegram.

“Saya berharap agar semua rakyat negeri Terengganu memberi kerjasama dengan mengisi borang yang disediakan pihak MPKK demi membantu kerajaan negeri dalam menguruskan program berbentuk kebajikan dan bantuan kepada rakyat Terengganu," tambah beliau.