Berita :
Rakyat Terengganu  Diseru Jadi Duta Pelancongan Negeri
Rakyat Terengganu Diseru Jadi Duta Pelancongan Negeri
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
88

KUALA TERENGGANU, 1 Julai – Seluruh rakyat Terengganu diseru memainkan peranan sebagai duta pelancongan negeri dengan mengamalkan sikap mesra, menjaga kebersihan dan memberikan layanan terbaik kepada pelancong bagi memastikan sektor pelancongan terus berkembang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kejayaan industri pelancongan bukan hanya bergantung kepada usaha kerajaan menganjurkan pelbagai acara dan promosi, sebaliknya memerlukan sokongan masyarakat.

Menurutnya, setiap kehadiran pelancong membawa limpahan rezeki kepada pelbagai golongan termasuk pengusaha hotel, chalet, homestay, restoran, gerai makanan, peniaga batik, songket dan kraftangan.

"Apabila pelancong datang, rakyat yang paling banyak menerima manfaat. 

"Sebab itu saya berharap semua menjadi duta pelancongan dengan menyambut tetamu sebaik mungkin serta menunjukkan adab dan budaya masyarakat Terengganu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan secara melampau ketika musim pelancongan kerana tindakan itu boleh menjejaskan imej negeri.

"Kita mahu pelancong datang berulang kali. Jangan kerana terlalu sibuk atau terlalu ramai pelanggan, kita melayan mereka dengan kurang baik. 

"Berikan perkhidmatan terbaik kerana kepuasan mereka akan menentukan sama ada mereka mahu kembali ke Terengganu atau sebaliknya," tambahnya.

Razali turut menekankan aspek kebersihan sebagai antara kekuatan utama pelancongan negeri dengan menyeru semua pihak menjaga kebersihan premis perniagaan, tandas, tempat makan dan kawasan persekitaran.

Katanya, usaha menjadikan Terengganu sebagai negeri yang bersih perlu digalas bersama oleh seluruh masyarakat, bukan hanya bergantung kepada pihak berkuasa tempatan.

"Tagline kita ialah 'Negeri Bersih, Allah Kasih'. Kebersihan adalah produk pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung dan memberi manfaat kepada ekonomi rakyat," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan