• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

RELA Perlu Bersiap Siaga Bantu Anggota Keselamatan.



Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) perlu bersedia dikerahkan pada bila-bila masa untuk membantu anggota keselamatan negara termasuk polis dan tentera.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri,Ghazali Taib berkata anggota RELA antara benteng keselamatan negara selepas Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"RELA berada di mana-mana dan tugas mereka diakui masyarakat dalam pelbagai segi malah tanggungjawab serta peranannya amat dihargai terutama pembabitan dalam misi kemasyarakatan.

"Saya percaya, RELA  bersedia dalam apa juga keadaan untuk bersama kerajaan negeri," katanya.

Ghazali berkata demikian ketika merasmikan Kursus Pengenalan RELA Siri 2/2017 di Balairaya Kampung Peneh,Ajil,Hulu Terengganu semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil berkata, kehadiran pasukan ini bukan hanya dilihat mengawal keselamatan di tempat kenduri dan jalan raya sahaja tetapi kalau ada militan IS dan penceroboh asing masuk ke negara ini, RELA sanggup berada di barisan hadapan menentangnya.

Sementara itu,Penolong Pegawai RELA Daerah Hulu Terengganu,Noor Asiah Mustafa berkata kursus yang diadakan pada kali ini memberi pendekatan yang lebih mudah difahami dengan cara yang tersendiri sebagai objektif yang disasarkan.

Katanya pencapaian objektif tidak terhad  kepada ilmu pengetahuan sahaja tetapi meliputi kejiwaan atau 'spiritual' serta menanam sikap bertanggungjawab kepada pasukan dan berdisiplin  serta menanamkan semangat cintakan negara.

"Yang paling utama,kursus ini nak bagi pendedahan asas dalam aspek fungsi dan peranan anggota RELA dalam bidang keselamatan,pembangunan masyarakat serta sebagai Duta Kecil Kerajaan,"kata Noor Asiah.

Tag: