lightning-solid
Berita :
Ribut Petir, Hujan Lebat Dijangka Landa Enam Daerah di Terengganu
Ribut Petir, Hujan Lebat Dijangka Landa Enam Daerah di Terengganu
Ahmad Zaeem Zainudin
4 jam yang lepas
49

KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Enam daerah di Terengganu dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga pukul 6 petang ini berdasarkan amaran cuaca jangka pendek yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

METMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan daerah yang terlibat ialah Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

"Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di Terengganu melibatkan Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman sehingga 6:00 petang, Selasa, 7 Julai 2026," kata kenyataan tersebut.

Menurut jabatan tersebut, amaran berkenaan dikeluarkan susulan tanda-tanda berlakunya ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi satu jam.

Amaran yang dikeluarkan pada jam 3 petang itu tadi turut melibatkan beberapa kawasan di negeri lain iaitu Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya serta beberapa bahagian di Sarawak dan Sabah.

METMalaysia juga menjelaskan bahawa amaran ribut petir merupakan amaran cuaca jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan yang terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan berlaku banjir kilat, pokok tumbang serta gangguan akibat angin kencang dan hujan lebat, selain mendapatkan maklumat cuaca terkini daripada METMalaysia.


Tag :

Semasa

Artikel Berkaitan