KUALA TERENGGANU – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat yang melibatkan beberapa negeri termasuk Terengganu, hari ini.
Menurut amaran yang dikeluarkan pada 2.30 petang, keadaan itu dijangka berterusan sehingga 5 petang.
Di Terengganu, kawasan yang terlibat ialah Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu.
Selain itu, amaran sama turut melibatkan kawasan di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak serta Sabah.
Antara kawasan terlibat di negeri lain termasuk Kuala Muda, Sik, Baling dan Langkawi di Kedah; Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim di Perak.
Di Kelantan, kawasan terlibat ialah Bachok, Kota Bharu, Jeli, Kuala Krai, Gua Musang dan Tanah Merah, manakala di Pahang membabitkan Temerloh, Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong dan Bera.