• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

RM 1 Juta Indahkan 39 Produk Pelancongan Komuniti Terengganu

KUALA TERENGGANU, 15 November – Kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan bernilai RM1 juta bagi membangunkan produk pelancongan berteraskan Komuniti (CBT) dengan program pengindahan di 39 lokasi dalam negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ia sejajar dengan Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu yang menyasarkan kewujudan minima 40 CBT.

“Alhamdullilah kerajaan di peringkat awal telah memperkasakan segmen ini dengan peruntukan RM1 juta dan antara program telah selesai dianjurkan seperti program gotong-royong di Kalang Warisan, Pantai Angin Berbisik, Kampung Jambu Bongkok dan banyak lagi.

“Ini juga termasuk program kelestarian di Kampung Pulau Serai dan perasmian Kampung Perlancongan di Kampung Mangkuk, Setiu.

“CBT ini bukan sahaja melibatkan usaha pihak kerajaan, namun komitmen masyarakat setempat terutamanya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan ahli kampung sangat besar dalam memajukan sektor komuniti masing-masing,” katanya.

Tambahnya, CBT mampu memberi faedah secara langsung dari segi ekonomi seperti peluang pekerjaan dan pendapatan sampingan, namun memerlukan kelestarian sumber alam untuk generasi masa kini dan masa hadapan.

Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Menjelas lanjut, Ariffin turut menceritakan peningkatan produk pelancongan berasaskan aktiviti fizikal yang kian popular di dalam negeri.

“Ini termasuk Bukit Harimau Menangis, Bukit Maras (Paragliding), Bukit Besar dan terbaharu Bukit Salai.

“Ini bukan sahaja mewujudkan masyarakat aktif sukan, namun ia turut meningkatkan potensi pengunjung daripada luar negeri dan bakal melonjak lagi, akan datang,” katanya.