• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

RM15 Juta Selesaikan Hakisan Pantai Rusila

MARANG, 6 Julai - Sebanyak RM15 juta diperuntukkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebagai penyelesaian jangka pendek kepada isu hakisan yang berlaku di Pantai Rusila.

Menurut Menteri Alam Skitar dan Air, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, proses penyuburan pantai (beach nourichment) iaitu menambak semula persisir pantai dengan pasir dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

"Kita akui bahawa menjelang musim tengkujuh kuasa ombak ini sangat besar dan dijangka akan menyebabkan hakisan besar pada pantai jika tidak disegerakan. Yang pertama ialah strategi jangka pendek yang kita perlu segerakan bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.  

"Saya berterima kasih kepada pihak kementerian kerana mengambil inisiatif awal meletakkan batu-batu untuk penyelesaian semasa dan kita akan beri perhatian serius terhadap isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi Taklimat Hakisan Pantai di Rusila oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, hari ini.

Dr.Zaini menunjukkan gambar struktrur hakisan kepada Dr. Samsuri dan Tuan Ibrahim.

Hadir sama dalam tinjauan tersebut ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh dan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Jelas Tuan Ibrahim lagi, pantai dengan jajaran sepanjang enam kilometer itu memerlukan strategi yang tersusun sebagai penyelesaian menyeluruh.

"Untuk jangka masa panjang, kita perlukan satu peruntukan lebih kurang dalam RM150 juta untuk melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK 12) untuk penyelesaian menyeluruh berdasarkan kajian Pelan Pantai Bersepadu (Intergrated Shoreline Management Plan-ISMP).

"Kita ada kajian menyeluruh bagi negeri Terengganu kerana negeri ini mempunyai pantai yang panjang iaitu 244km dan kita perlu tengok secara keseluruhannya," katanya.

Sementara itu, Dr. Samsuri sempat menzahirkan penghargaan di atas kunjungan menteri berkenaan ke negeri itu.

“Terima kasih atas kunjungan menteri bersama seluruh anggota pentadbiran dan atas pengumuman yang dibuat sebanyak RM15 juta untuk menyelesaikan secara segera hakisan di sini.

“Secara dasarnya, kita juga berkerjasama dengan pihak kementerian untuk menyelesaikan masalah hakisan di seluruh negeri ini,” katanya.