Dr. Sam Persoal Integriti Pelantikan Hakim, Desak Tindakan Segera PM
RM2 Juta Diperuntuk Bangunkan Infrastruktur Tanah Terbiar
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Terengganu telah menyalurkan lebih RM2 juta dalam tempoh tiga tahun sejak 2021 bagi membiayai pembinaan infrastruktur asas di kawasan tanah terbiar, sebagai pemangkin kepada usaha menjadikan tanah tidak diusahakan kembali produktif dan bernilai.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, insentif khas ini diberikan kepada pemilik tanah yang bersedia memulakan aktiviti pertanian dengan sokongan infrastruktur asas seperti sistem pengairan, pagar, jalan dan kemudahan lain.
"Bermula tahun 2021, Kerajaan Negeri telah menyediakan insentif bagi penyediaan infrastruktur asas di kawasan tanah terbiar seperti sistem pengairan, pagar, jalan dan lain-lain berjumlah RM20,000/ha," katanya sebagai menjawab persoalan dari ADUN Buluh Gading ketika sesi menggulung perbahasan DUN di Wisma Darul Iman, semalam.
Menurut beliau, pada tahun pertama pelaksanaan, kerajaan memperuntukkan RM500,000 sebagai permulaan dan jumlah itu kemudiannya ditambah kepada RM1 juta pada tahun 2022 berikutan permintaan serta sambutan menggalakkan daripada pemilik tanah.
"Tahun 2022 peruntukan dinaikkan kepada RM1 juta.
"Tahun 2023, RM500 ribu lagi diperuntukkan bagi tujuan yang sama.
"Insentif ini disalurkan terus melalui Jabatan Pertanian Negeri dan bertujuan meringankan beban awal pemilik tanah yang ingin memulakan semula aktiviti pertanian selepas sekian lama tanah mereka dibiarkan terbengkalai," jelasnya.