KUALA TERENGGANU, 15 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) berjaya menyalurkan pembiayaan, geran dan dana berjumlah lebih RM35 juta kepada 7,006 usahawan tempatan sejak pelaksanaan Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) pada tahun 2019.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, jumlah keseluruhan penyaluran sehingga kini adalah sebanyak RM35,167,934.38 bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan masing-masing.
Katanya, skim TUGAS yang diperkenalkan sejak 2019 terus menjadi antara inisiatif utama kerajaan negeri dalam memperkukuhkan sektor keusahawanan dengan menyediakan bantuan mengikut keperluan golongan sasaran.
"Antara skim yang dilaksanakan termasuk bantuan kepada usahawan wanita menerusi Skim Siti Khadijah, selain pelbagai skim terbuka untuk usahawan lelaki dan Skim Usahawan Perantau yang membantu anak Terengganu menjalankan perniagaan di luar negeri.
“Skim Usahawan Perantau ini memberi peluang kepada anak Terengganu yang berniaga di luar seperti di Shah Alam dalam bidang makanan dan minuman untuk turut mendapat sokongan kerajaan negeri,” jelasnya.

Ariffin menambah, YPU menyasarkan pembiayaan TUGAS sebanyak RM3 juta hingga RM4 juta pada tahun ini, berdasarkan trend penyaluran yang kekal dalam julat berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
Dalam masa sama, Ariffin berkata YPU bukan sahaja memberi pembiayaan, malah turut melakukan pemantauan terhadap penerima bagi memastikan bantuan digunakan mengikut tujuan yang ditetapkan.
“Kita tidak hanya beri pinjaman, sebelum kelulusan kita turun melawat premis dan melihat perancangan perniagaan mereka. Selepas itu kita pantau perkembangan supaya bantuan ini benar-benar memberi manfaat,” katanya.
Menurut beliau, kebanyakan penerima berjaya menggunakan pembiayaan tersebut untuk menambah modal, menaik taraf premis dan mengembangkan operasi perniagaan walaupun berdepan cabaran turun naik ekonomi.
