Graduan Perlu Tingkat Kemahiran Bagi Penuhi Keperluan Industri
KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Sebanyak RM700,000 dana bantuan telah disalurkan Kementerian bertujuan untuk membaik pulih Reban Ayam Baroh Masin Hulu Besut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, projek kompleks reban tertutup yang telah dibina pada tahun 2005 itu telah dibiarkan terbengkalai.
“Reban Ayam Baroh Masin Hulu Besut merupakan aset milik Kerajaan Negeri yang dibina dengan kos jutaan ringgit. Terbiar rosak begitu sahaja tanpa memberi manfaat kepada sesiapa.
“Alhamdulillah, kita ikhtiar dapatkan dana untuk baiki dan majukan kembali. Terima kasih kepada KPKM yang menyalurkan dana lebih RM700 ribu untuk pembaikian dan naik taraf reban ayam ini,” beliau berkata demikian dalam satu hantaran Facebook rasminya, baru-baru ini.
Menurut penyata rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, mesyuarat kedua penggal persidangan pertama DUN kelima belas 2023, kompleks reban ayam tertutup di Baroh Masin Hulu Besut itu telah dikelola oleh tiga pengusaha berasingan iaitu TD Poultry, Syarikat Jahasrat Farming dan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC), sebelum ini.
Namun, kerugian yang berpunca daripada masalah kecurian dan masalah kelengkapan dengan anggaran melebihi RM200,000 yang terpaksa ditampung oleh pengusaha-pengusaha itu jelas terlalu tinggi menyebabkan mereka menarik diri daripada meneruskan projek tersebut.
Justeru itu, Dr. Azman berharap dengan bantuan yang telah disalurkan oleh KPKM tersebut bakal dapat menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh kerajaan negeri untuk memulihkan aset negeri yang melibatkan kos jutaan ringgit dalam pembinaannya.
Dalam masa sama, beliau turut telah mengumumkan bahawa pihaknya telah memilih pengusaha baru dengan harapan ia bakal dapat memanfaatkan aset yang dibiarkan terbiar itu dengan sepenuhnya.
“Insya-Allah sebuah syarikat tempatan yang berpengalaman dan berdaya saing telah diberikan peluang sebagai operator baru yang akan mengoperasikan reban tertutup ini dalam masa terdekat,” katanya.