• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

RM76 Juta Untuk Dua Masjid, Bangunan Persekutuan Di Hulu Terengganu

 

HULU TERENGGANU, 27 Ogos - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM76 juta bagi pembinaan dua masjid baharu dan bangunan Persekutuan di kawasan Parlimen Hulu Terengganu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid, berkata tender untuk pembinaan masjid baharu  Kampung Langgar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang dan Masjid Kampung Jak di DUN Ajil membabitkan peruntukan keseluruhan RM6 juta akan dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Setakat ini reka bentuk masjid di Kampung Langgar yang boleh menampung kira-kira 1,000 jemaah dan masjid di Kampung Jak, yang boleh menampung kira-kira 200 jemaah sudah siap.

“Pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan,”ujarnya.

Terdahulu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu bersama Jurutera JKR Daerah Hulu Terengganu, Alif Zuwairi Baharuddin melawat tapak projek pembinaan masjid baharu di Kampung Langgar.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu  juga berkata bagi kemudahan penduduk di Parlimen Hulu Terengganu berurusan, cadangan telah dikemukakan untuk menempatkan semua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di satu lokasi secara berpusat.

Tambah beliau, kerajaan negeri telah meluluskan tapak seluas kira-kira 20 hektar bagi membolehkan projek pembinaan bangunan guna sama persekutuan dibina.

Menurutnya lagi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada dasarnya bersetuju dengan cadangan tersebut untuk menempatkan semua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di lokasi itu.

Justeru itu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri kini sedang membuat penilaian serta kajian terutamanya peruntukan yang dianggarkan melebihi RM70 juta.

"Semua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di daerah Hulu Terengganu sudah diarah membuat kertas cadangan termasuk keluasan lantai diperlukan.

"Jika projek bangunan usaha sama Persekutuan itu siap, masalah jabatan dan agensi kerajaan yang terpaksa menyewa bangunan persendirian serta menumpang jabatan lain selesai, selain mampu memberi keselesaan kepada penduduk membuat urusan," katanya.


Tag: