Hapus Sekatan Ekonomi Syria : Strategi Politik Atau Perangkap Baharu AS?
KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Dalam usaha mencapai keterjaminan makanan yang mampan, Kerajaan Negeri Terengganu merangka strategi holistik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk memanfaatkan kelebihan infrastruktur East Coast Rail Link (ECRL) bagi mengukuhkan rantaian bekalan pertanian.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, berkata sektor pertanian menjadi tunjang utama dalam memastikan keterjaminan makanan negeri.
"Kami komited meningkatkan pengeluaran melalui pertanian komersial dan teknologi moden bagi mencapai kadar self-sufficient rate (SSR) yang lebih tinggi.
"ECRL pula akan menjadi laluan strategik untuk mengangkut hasil pertanian dengan lebih pantas dan efisien ke pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya ketika Sesi Libat Urus RMK13, di Primula Beach Hotel, di sini baru-baru ini.
Turut bersama, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi; Dato’ Nor Azmie Diron, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Menurut Nara Setia, ECRL yang menghubungkan kawasan Pantai Timur dengan pusat ekonomi di Pantai Barat, membuka peluang besar bagi petani Terengganu untuk memperluas pasaran mereka.
"Dengan jaringan logistik yang lebih baik, hasil pertanian seperti padi, sayur-sayuran, dan hasil laut dapat dihantar ke destinasi dalam masa lebih singkat, sekali gus meningkatkan daya saing produk tempatan,” jelas beliau.
Selain itu menurut beliau, Kerajaan Negeri turut memberi penekanan terhadap pembangunan sistem pengairan moden dan pengurusan risiko bencana.
"Kami memahami bahawa banjir sering menjejaskan produktiviti pertanian.
"Oleh itu, langkah seperti sistem saliran tahan lasak dan perlindungan tanah pertanian akan diperkenalkan," tambahnya.
Nara Setia juga mengakui pentingnya kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan pelabur swasta untuk menjayakan visi ini.
"Dengan sokongan dana, teknologi, dan infrastruktur seperti ECRL, kami yakin Terengganu mampu menjadi hab keterjaminan makanan yang bukan sahaja memenuhi keperluan negeri tetapi juga negara," katanya penuh optimis.
Beliau turut menegaskan bahawa peluang pelaburan dalam sektor logistik pertanian kini terbuka luas.
"ECRL membuka pintu kepada pelabur untuk membina kemudahan pengedaran, gudang simpanan sejuk, dan pusat pemprosesan makanan.
"Ini akan membantu mengurangkan pembaziran hasil dan meningkatkan nilai tambah produk pertanian.
"Terengganu kini berada di landasan kukuh untuk memacu keterjaminan makanan sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri ekonomi berdaya tahan di Malaysia," ujarnya.