• 16 Mei 2024 | 8 Zulkaedah 1445

RMM Tempinis Perintis Rumah Patuh Syariah Terengganu - MB

Dr Ahmad Samsuri menandatangani plak sekali gus merasmikan Majlis Pecah Tanah RMM Tempinis di Padang Bola Kampung Tempinis Kerandang Besut. 
BESUT, 21 Januari - Rumah Mampu Milik (RMM) Mukim Tempinis Kerandang di sini menjadi projek perintis rumah berciri mesra syariah pertama di Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, idea penjenamaan semula RMM dengan penambahbaikan ciri-ciri rumah mesra syariah telah dirujuk untuk dijadikan identiti bagi membolehkan rakyat negeri Terengganu dan para pemaju perumahan membezakan RMM negeri Terengganu dengan negeri-negeri lain.

“Kita berdoa agar usaha kita secara berterusan ini mampu kita laksanakan untuk manfaat rakyat negeri Terengganu yang memerlukan rumah berkenaan,” jelasnya.

MB (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah RMM Tempinis Kerandang Besut.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah RMM Tempinis di Padang Bola Kampung Tempinis Kerandang di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman serta isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu berkata, 100 buah RMM di Mukim Tempinis itu adalah contoh terbaik yang membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40).

“Iaitu golongan berpendapatan isi rumah RM3,500 sebulan dan ke bawah mampu tinggal di rumah selesa dan mempunyai kelengkapan yang mencukupi di negeri Terengganu, khususnya di daerah Besut.

“Kita berharap projek ini memberi kemudahan kepada golongan yang sangat memerlukan bantuan perumahan kerana masih terdapat penduduk yang menyewa dan menumpang rumah orang lain di negeri Terengganu,” jelas beliau.

Menurut Dr Ahmad Samsuri, RMM di Mukim Tempinis Kerandang itu dibina di atas tanah kerajaan berkeluasan 9.51 ekar atau 3.85 hektar yang merangkumi keluasan tapak 800 kaki persegi satu unit.

Katanya, spesifikasi rumah berkenaan mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air serta ruang keluarga yang eksklusif menepati syariah iaitu terhalang dari perhatian tetamu yang berkunjung ke rumah berkenaan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu di atas penganjuran majlis berkenaan.


Tag: