KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid, menuntut Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan segera berhubung empat isu kritikal yang disifatkannya sebagai lambang kegagalan tadbir urus serta ketirisan fiskal kerajaan.
Rosol secara terbuka menggesa Perdana Menteri direhatkan daripada menjalankan tugas rasmi kerajaan sehingga isu kes mahkamah melibatkan Yusof Rawther diselesaikan sepenuhnya.
Beliau menyuarakan kebimbangan bahawa tindakan institusi pengadilan mungkin dilihat sebagai penghakiman dua darjat, khususnya apabila wujud dakwaan ketidaksetaraan dalam pendakwaan kes rasuah membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Rosol turut mempersoalkan ketelusan angka dalam Belanjawan Negara yang dibentangkan baru-baru ini.
Menurutnya, kerajaan dilihat bertindak seperti 'scammer' apabila mengumumkan jumlah keseluruhan RM470 bilion, sedangkan perbelanjaan sebenar dikatakan hanya sekitar RM420 bilion.
Beliau menyifatkan perbezaan angka itu sebagai satu bentuk penipuan terhadap rakyat.
Dalam isu ekonomi, Rosol mempersoalkan keberkesanan lawatan kerja Perdana Menteri dan menteri-menteri ke luar negara.
Katanya, jika benar pelaburan berbilion ringgit telah berjaya dibawa masuk, kerajaan sepatutnya tidak lagi terlalu bergantung kepada sumbangan syarikat GLC dan GLIC.
“Mana hasil pelaburan yang dikatakan itu?,” soal beliau sambil menuntut bukti konkrit terhadap impak sebenar pelaburan berkenaan.
Rosol turut membangkitkan isu ketirisan dalam pelaksanaan projek MyKios, yang didakwanya dilaksanakan tanpa perancangan rapi.
Menurutnya, lokasi yang tidak strategik serta spesifikasi binaan yang tidak sesuai menyebabkan projek berkenaan menjadi ‘gajah putih’ dan hanya menyumbang kepada pembaziran wang rakyat.