Jalur Gemilang
Berita :
Rumah Baharu Mangsa Kebakaran Kg Anak Ikan Selesai Dibina Menerusi Tabung Darul Iman
Rumah Baharu Mangsa Kebakaran Kg Anak Ikan Selesai Dibina Menerusi Tabung Darul Iman
Hidayah Azlin
6 jam yang lepas
132

SETIU, 22 September – Hasrat pasangan suami isteri, Mohd Khalid Mat Yusop 37 dan Nor Asmawati Riduan,35 untuk kembali memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan selepas projek pembinaan baharu rumah mereka di Kampung Anak Ikan, Jabi kini berada pada fasa akhir dan sedia untuk didiami dalam masa terdekat.

Kediaman asal pasangan berkenaan musnah sepenuhnya dalam satu musibah kebakaran yang berlaku pada 5 Mac lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, pihak Kerajaan Negeri mengambil langkah segera bagi memulakan proses pembinaan semula rumah tersebut sejurus selepas insiden berkenaan demi memastikan kebajikan mangsa terjamin.

Menurut beliau, keseluruhan pelaksanaan projek pembinaan kediaman tersebut ditanggung menerusi peruntukan khas Tabung Darul Iman (TDI).

"Alhamdulillah, hasil usaha bersungguh-sungguh semua pihak, pembinaan baharu rumah ini telah hampir siap sepenuhnya dan Insya-Allah pasangan berkenaan akan dapat berpindah masuk dalam masa terdekat," katanya.


Dalam pada itu, Dr Azman turut memohon maaf kepada pihak keluarga atas sedikit kelewatan penyiapan projek berbanding jadual sasaran asal.

Jelas beliau, kelewatan teknikal tersebut tidak dapat dielakkan ekoran implikasi kenaikan harga minyak yang memberi kesan kepada peningkatan kos bahan binaan di pasaran.

Keadaan itu memerlukan penyelarasan harga dan bajet dibuat semula bagi memastikan keutamaan kualiti serta keselesaan struktur rumah dapat dijaga.

Walau bagaimanapun, proses penyelarasan berkenaan telah berjaya diselesaikan dengan cemerlang, sekali gus membolehkan pembinaan disiapkan mengikut garis yang ditetapkan untuk keselesaan jangka panjang penghuninya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan