• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Rumah Usia 23 Tahun Musnah Terbakar, Diganti Baharu


Nasib malang lima sekeluarga yang kehilangan rumah didiami sejak 23 tahun lalu di Kampung Paya Berenjut, Kemaman, terubat apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat, hari ini membawa khabar gembira untuk keluarga itu.

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan negeri mengunjungi mereka di tapak rumah yang musnah dalam kebakaran baru-baru ini untuk bertanya khabar dan menyampaikan bantuan RM3,000 bagi mengurangkan bebanan mangsa.



Mangsa, Rohaya Sidek 45, yang mempunyai empat cahaya mata berusia 12 hingga 23 tahun itu bersyukur dengan keprihatinan Hanafiah serta kerajaan negeri yang turut berjanji membina rumah baharu untuk mereka secepat yang mungkin.

Menceritakan kejadian malang itu, pada hari kejadian tiada siapa yang berada dalam rumah berkenaan dan dia juga tidak memasak pada hari tersebut.

“Pada hari itu kira-kira jam 8 pagi saya keluar dari rumah untuk menolong sepupu memasak dekat Kuala Kemaman. Lepas itu, saya terima panggilan orang cakap rumah saya penuh asap tebal.

“Saya terima banyak panggilan daripada jiran-jiran, saya cakap mungkin salah tengok rumah dan mungkin itu cuma asap bakar getah tetapi waktu tu saya mula rasa cemas kemudian saya bergegas balik rumah apabila sampai saya lihat rumah saya dah terbakar sepenuhnya,” katanya.

Rohaya berkata, dia terharu kerana tragedi itu mendapat perhatian ramai serta pemimpin setempat juga cepat bertindak membantu menyelesaikan masalah mereka sekeluarga.



“Tidak lupa juga kepada jiran-jiran dan pihak yang membantu kerana menyumbang peralatan rumah seperti peti sejuk, kipas, mesin parut kelapa, mesin basuh, dapur gas dan lain-lain,” katanya.

Rumah baharu itu dijangka siap dalam masa tiga bulan serta dilengkapi dengan kemudahan eletrik dan bekalan air.




Tag: