• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

'Sabar, PKP Besut Keputusan Terbaik Untuk Terengganu'

MARANG, 7 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Besut adalah keputusan terbaik bagi negeri itu.

"Semua sudah tahu kenapa terpaksa PKP di Besut, kita tidak menafikan melintasi sempadan (cross border) menjadi faktor utama penularan, melalui laluan-laluan tikus menyebabkan perkara tersebut sukar dikawal.

"Jadi, kita ambil pendekatan yang memang tidak menggembirakan ramai orang. Ini keputusan melalui perbincangan bersama kerajaan negeri dan agensi-agensi terlibat dan di bawa ke peringkat pusat sebelum diputuskan," katanya.

Jelasnya, penularan yang meningkat mendadak itu perlu disekat secepat mungkin bagi memastikan negeri Terengganu tidak terjejas dan Besut akan kembali pulih.

"Kita rasa tidak ada jalan lain lebih selamat supaya tidak menular ke daerah lain kerana jika ia (penularan) sampai ke daerah-daerah selatan Terengganu, ia akan lebih parah," katanya.