• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Sabasun Tambah Cawangan Baharu di Dungun

DUNGUN, 18 Februari - Pasar raya milik anak Terengganu, Sabasun akan membuka cawangan baharunya yang ke-enam di Tapak Pasar Malam Dungun.

Pengurus besarnya, Che Salmi Che Ibrahim berkata, beliau memilih untuk membuka di daerah terbabit kerana menerima permintaan yang tinggi daripada penduduk Dungun.

"Juga merupakan hasrat kita sejak tujuh tahun yang lalu, jadi alhamdulillah baru sekarang kita mendapat tempat yang sesuai dan saya ingin memberikan penghargaan yang besar kepada Majlis Perbandaran Daerah Dungun.

"Tempat untuk Sabasun bertapak di Dungun di atas tanah seluas 15,000 kaki persegi ini sangat strategik.

"Insya-Allah kita jangka akan beroperasi pada pertengahan September ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Sabasun yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah hari ini.

Mengulas lebih lanjut Che Salmi berkata, berkonsepkan 'Hyper Runcit Mini Market' seramai 120 orang warga tempatan akan diambil untuk bekerja.

"Harapan kami di pihak Sabasun juga agar rakyat Terengganu terus mendokong dan menyokong aspirasi perjuangan membela rakyat yang berada di negara peta luka umat Islam terutamanya Palestin," katanya.

Dalam pada itu, Wan Sukairi berharap agar pembinaan Sabasun itu akan berjaya disiapkan mengikut jadual agar rakyat di daerah ini dapat menikmati produk serta barangan yang berkualiti pada harga berpatutan.

"Pihak kerajaan negeri sangat mengalu-alukan pembukaan cawangan baharu ini kerana selama ini Sabasun telah memberi peluang kepada rakyat Terengganu untuk bekerja.

"100 peratus tenaga kerjanya merupakan anak jati negeri Terengganu.

"Kerana itu pihak kerajaan negeri membantu memudahkan Sabasun untuk mendapat tempat ini, kerana secara automatiknya juga membantu rakyat Terengganu yang sekarang telah mencecah ribuan orang yang telah berkhidmat atau bekerja dengan pihak Sabasun.

"Dalam masa yang sama semua pekerja yang merupakan anak jati negeri Terengganu ini sangat dijaga kebajikan mereka oleh pihak Sabasun," ujarnya.