• 21 Apr 2024 | 12 Syawal 1445

Sambut Baik Tambah Super Bagi Bendung Kegiatan Tangkap Ikan Secara Haram


A.Latiff memakaikan jaket keselamatan kepada seorang ahli Super di Majlis Pelancaran Super Merchang dan Melabuhkan Unjam di Jeti Sungai Merchang, Marang, hari ini. Foto oleh: Harish Fadzillah Kassim

Kerajaan negeri menyambut baik usaha Jabatan Perikanan menambah jumlah sukarelawan perikanan (Super) yang berperanan sebagai mata dan telinga kepada pihak penguatkuasaan bagi membendung kegiatan penangkapan ikan secara haram.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, A. Latiff Awang berkata, ketika ini terdapat kira-kira 315 Super di seluruh negeri ini dan 21 daripada mereka dari Daerah Marang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, berkata penubuhan Super bertujuan membantu Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memantau dan mencegah pelanggaran peruntukan serta peraturan mengikut Akta 317 atau Akta Perikanan 1985 semasa rutin harian menangkap ikan. 

“Mereka bertindak sebagai mata dan telinga serta menyampaikan maklumat penting kepada jabatan dan pihak penguatkuasaan terutama sekali berkaitan kes seperti pencerobohan bot nelayan asing, pencerobohan zon tangkapan ikan, kerosakan bot nelayan dan informasi kecemasan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Super Merchang dan Melabuhkan Unjam di Jeti Sungai Merchang, Marang, hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 17 nelayan membuat pendaftaran baru bagi menjadi ahli Super Marang.

A. Latiff  mengharapkan lebih ramai yang berdaftar sebagai ahli Super selari dengan hasrat penubuhan Super dari golongan nelayan di peringkat kebangsaan untuk meningkatkan kefahaman, pengetahuan dan kesedaran nelayan serta orang awam tentang kepentingan menjaga ekosistem perikanan.

Sementara itu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan Pejabat Perikanan Daerah mengambil inisiatif dengan mendaftar semua nelayan sampan yang berdaftar sebagai ahli Super Terengganu.

Setiap ahli Super Terengganu bakal dibekalkan dengan Radio Komunikasi Super Terengganu menjelang 2020.


Tag: