Berita :
Sambutan Raya Perantau Terengganu di Kuantan Cecah Kapasiti Maksimum
Sambutan Raya Perantau Terengganu di Kuantan Cecah Kapasiti Maksimum
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
42

KUANTAN, 13 April - Sambutan Majlis Jelajah Hari Raya Anak Terengganu di Perantauan 2026 di Dewan Antabara Indera Mahkota di sini mencatat kehadiran luar jangka apabila jumlah pengunjung melepasi sasaran awal hingga memenuhi kapasiti dewan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sambutan yang diterima pada tahun ini amat memberangsangkan dengan kehadiran yang dilaporkan meningkat berbanding tahun sebelumnya.

"Alhamdulillah, saya tengok sambutan pada hari ini di Kuantan cukup memberangsangkan. Dewan penuh dengan kehadiran dan jumlah yang hadir pada tahun ini lebih daripada tahun lepas.

"Setiap tahun sentiasa ada peningkatan. Ini menunjukkan keprihatinan, kecaknaan dan kebersamaan anak-anak Terengganu di perantauan bersama kerajaan negeri," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan hari ini.

Menurut penganjur, jumlah kehadiran asal yang direkodkan melalui pendaftaran adalah sekitar 200 peserta, namun kehadiran sebenar melepasi angka tersebut sehingga memenuhi kapasiti dewan yang mampu menampung kira-kira 500 pengunjung.

Wan Sukairi turut merakamkan penghargaan kepada anak-anak Terengganu di perantauan khususnya di Pahang yang hadir memeriahkan sambutan Hari Raya bersama kepimpinan kerajaan negeri.

Sementara itu, beliau berkata program seumpama ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim, malah berperanan penting dalam mengekalkan hubungan antara kerajaan negeri dan rakyat yang berada di luar Terengganu.

"Ini antara medium paling berkesan untuk kita mendekati anak-anak Terengganu di perantauan di samping menyambung silaturahim serta mendengar pandangan dan cadangan daripada mereka," ujarnya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail serta ADUN Azbi Salleh.

Dalam pada itu, Wan Sukairi turut menegaskan bahawa anak-anak Terengganu di perantauan bukan sahaja sekadar peserta program, malah merupakan aset penting dan 'duta kecil' negeri yang mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti perantau khususnya diluar negeri Terengganu.

Majlis di Kuantan merupakan sebahagian daripada Jelajah Sambutan Hari Raya Anak Terengganu di Perantauan 2026 yang berlangsung di sembilan negeri bermula 5 April lalu hingga 18 April ini, termasuk Pulau Pinang, Johor, Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Kedah dan Perak.


Ketupat

Artikel Berkaitan