Jalur Gemilang
Berita :
Santai Hiking Keluarga DUN Air Putih Siri Ketiga Himpun Lebih 300 Peserta
Santai Hiking Keluarga DUN Air Putih Siri Ketiga Himpun Lebih 300 Peserta
Ridhwan Balian
1 jam yang lepas
63

KEMAMAN, 16 Oktober – Program Santai Hiking Keluarga DUN Air Putih Siri Ketiga berjaya menghimpunkan lebih 300 peserta di Bukit Mentok Hiking Park, Kemaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, program seumpama itu bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi platform untuk menghimpunkan masyarakat dalam suasana santai di samping memupuk kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan kesejahteraan keluarga.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 300 peserta. Kita berharap program seperti ini dapat diteruskan sebagai ruang untuk masyarakat meluangkan masa bersama keluarga, beriadah dan mengukuhkan hubungan sesama komuniti,” katanya.

Program kali ini menyaksikan peserta menjelajah denai sepanjang hampir tiga kilometer, sekali gus memberikan pengalaman menikmati keindahan alam semula jadi sambil melakukan aktiviti fizikal yang menyihatkan.

Selepas selesai pendakian, kemeriahan diteruskan dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik, termasuk sebuah peti sejuk sebagai hadiah utama, jam tangan pintar (smart watch) serta hadiah-hadiah lain.

Mohd Hafiz berkata penganjuran siri ketiga itu diharap dapat menyemarakkan budaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat DUN Air Putih, selain menjadikan aktiviti riadah sebagai medium memperkukuh perpaduan dan semangat kekeluargaan.

"Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua peserta serta pihak yang menjayakan program berkenaan.," ujarnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan