• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Sasar Keluarkan Beras MyGAP April Depan

MARANG, 4 November - Kerajaan negeri menyasarkan untuk mengeluarkan beras dengan jenama Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) Terengganu menjelang April tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut jawatankuasa khas untuk beras MyGAP Terengganu telah memutuskan Konsortium Kilang Padi di Baruh Masin, Jabi akan dijadikan kilang untuk memproses beras MyGAP.

Katanya, langkah tersebut akan menjamin kualiti beras yang tinggi selepas melalui audit pensijilan yang ketat.

“Di Terengganu ada seluas 413 hektar kawasan padi yang telah mendapat pensijilan myGAP, cuma sebelum ini sangat rugi apabila daripada jumlah itu ada yang tidak diproses dengan betul walaupun kita ada petani yang ada pensijilan myGAP.

“Kita tidak ada jenama beras dengan kualiti myGAP. Ini menyebabkan kita fikir perlu untuk mewujudkan satu rantaian yang lengkap daripada petak sawah, sehingga ke mesin padi, pengangkutan, kilang proses, pembungkusan dan pemasaran,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kilang Padi Bukit Kor Sdn Bhd, Marang, semalam.

Tambah beliau, rantaian tersebut perlu lengkap dan semuanya dalam perancangan pihak kerajaan negeri.