Jalur Gemilang
Berita :
Sasar Semua Tujuh PBT Diiktiraf Bandar Pintar
Sasar Semua Tujuh PBT Diiktiraf Bandar Pintar
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
161

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober -  Usaha Kerajaan Negeri Terengganu memperkukuh agenda bandar pintar menunjukkan perkembangan positif apabila tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) berjaya memperoleh pengiktirafan Smart City tahap pertama, manakala empat lagi sedang menunggu keputusan permohonan.

Pencapaian itu menjadi petunjuk kepada komitmen kerajaan negeri dalam memperluas pelaksanaan bandar pintar di seluruh Terengganu menerusi penglibatan aktif PBT, penggunaan teknologi dan penerapan inovasi dalam pembangunan bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya optimis empat lagi PBT berkenaan turut memperoleh pengiktirafan itu, sekali gus membolehkan kesemua tujuh PBT di Terengganu melepasi tahap pertama.

Menurutnya, keputusan permohonan berkenaan dijangka diumumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 10 November tahun hadapan.

“Insya-Allah, kita yakin empat PBT ini juga berjaya. Apabila mereka berjaya, kesemua tujuh PBT di Terengganu akan melepasi tahap pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Terengganu Smart City Activation Day (TSCA) 2026 yang memasuki penganjuran tahun ketiga di sini, pada Isnin.

Wan Sukairi berkata, pencapaian itu turut disusuli usaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang sedang berusaha untuk meningkatkan tahap pengiktirafan bandar pintar masing-masing.
Katanya, penganjuran TSCA menjadi antara platform penting bagi menyemarakkan komitmen PBT, selain membuka peluang kepada mereka meneroka teknologi baharu serta mendapatkan pendedahan secara langsung daripada pemain industri.

Menurutnya, program berkenaan turut mencerminkan perkembangan positif agenda bandar pintar di Terengganu apabila penyertaan syarikat dan kehadiran pengunjung meningkat setiap tahun.

Mengulas penganjuran TSCA 2026, beliau berkata, program sehari itu berjaya menarik seramai 6,750 pengunjung, selain menerima lebih 30 permohonan daripada syarikat yang berminat untuk menyertai pameran.

Bagaimanapun, penyertaan pempamer terpaksa dihadkan kepada sekitar 20 hingga 25 syarikat berikutan kekangan ruang.

“Alhamdulillah, kita melihat peningkatan yang ketara setiap tahun, khususnya dari segi penglibatan peserta dan kehadiran pengunjung.

“Program ini juga memberi peluang kepada PBT di Terengganu dan negeri-negeri SG4 untuk menimba pengalaman serta bertemu pemain industri bagi meneroka penyelesaian yang dapat menyokong pembangunan bandar pintar,” katanya.

Beliau berharap penganjuran TSCA dapat menjadi pemangkin kepada PBT untuk terus meningkatkan keupayaan masing-masing, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan menjadikan pembangunan bandar di Terengganu lebih cekap, mampan serta memenuhi keperluan rakyat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan