• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Sasaran 20 Ribu Unit RMM Tercapai Menjelang 2022

 


BESUT, 20 Julai- Kerajaan negeri optimis akan mencapai sasaran 20,000 unit Rumah Mampu Milik dalam tempoh lima tahun menjelang 2022.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sehingga hari ini, sebanyak 62.78 peratus projek perumahan dalam pembinaan, dan telah siap serta dalam perancangan.

"Sehingga akhir tahun ini dah kita dah capai lebih 12,000 unit dan cuma tinggal lebih kurang 8000 unit lagi untuk tempoh dua tahun setengah hingga tiga tahun.

" Saya percaya dengan kerjasama pihak swasta yang agresif datang ke negeri Terengganu dan juga bersama dengan bantuan pihak kementerian, insyallah kita akan capai sasaran tersebut,"ujarnya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik & Bercampur dan Majlis Pelancaran Rumah Darul Iman ( RAHMAN) ' Rumah Patuh Syariah' di tapak projek di Dendong, Tembila, Besut, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Kewangan Negeri , Dato' Zainal Abidin Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman dan Pengarah Urusan Wanland Metro Sdn. Bhd., Rosnizar Abdul Majid.

Sementara itu, menurut Dr Alias Razak, kerajaan negeri juga telah meluluskan dua projek perumahan baharu iaitu RMM Bukit Gasing, Marang sebanyak 250 unit dan RPMM Bukit Tumbuh, Kuala Nerus sebanyak 160 unit.

Katanya, ini termasuklah satu lagi projek perumahan yang masih dalam status perancangan iaitu projek RMM bagi tujuan perpindahan penduduk yang terlibat dalam binaan jalan Corniche Road pakej satu Kuala Terengganu City Centre(KTCC).

"Kemudahan perumahan merupakan satu keperluan kehidupan rakyat yang perlu disediakan oleh pihak kerajaan dan membantu rakyat memiliki rumah kediaman sendiri yang bakal menjadi syurga kecil buat mereka,"tambah beliau.

 


Tag: