• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Sebaran Maklumat Media Sosial Perlu Ditapis



Kewujudan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram membolehkan setiap maklumat disalurkan secara pantas, bagaimanapun ianya boleh membutakan fikiran masyarakat untuk mentafsir sama ada berita itu benar atau sebaliknya.

Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof  Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif berkata, bagaimanapun apa yang dikesalkan ada juga pihak tertentu, termasuk media arus perdana, agensi kerajaan dan swasta mengguna pakai maklumat yang dipaparkan media sisoal sebagai bahan berita.

“Maka di sinilah peranan dan kerjasama agensi media berdaftar diperlukan bagi memastikan kesahihan dan ketepatan fakta sesuatu perkara.

“Saya percaya, komuniti media di Terengganu, masih mengekalkan profesionalisme kewartawanan dalam memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat, kejujuran etika kerja dan keadilan kepada semua yang terlibat,”katanya.




Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Nik Wan Nik Omar pada Majlis Anugerah Kewartawanan UniSZA 2016, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, malam tadi.

Ahmad Zubaidi turut memberitahu, pihaknya menyasarkan UniSZA untuk menjadi antara sepuluh universiti awam di Malaysia dan terbaik di Pantai Timur.

Katanya, apabila Hospital Pengajar UniSZA beroperasi kelak, aspirasi itu diyakini mampu dicapai.

“Pada masa sama, faktor  peningkatan mendadak kemasukan pelajar antarabangsa, termasuk Iraq, Yemen, Iraq, Pakistan, Vietnam, Syria, Cina, Sudan, Jordan, Mesir, Brunei dan Thailand.


“Semua ini membuktikan UniSZA bukan saja menjadi pilihan pelajar tempatan malahan pelajar luar negara,” katanya.

Tag: