• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Sektor Perikanan, Benih Ikan Terengganu Teratas Di Malaysia

KUALA TERENGGANU, 28 Januari –Terengganu adalah antara negeri yang berada di kedudukan teratas dari segi pengeluaran benih ikan kerapu hibrid dan ikan siakap dengan keseluruhan pengeluaran hampir satu billion ekor sehingga November 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pengeluaran benih daripada pusat-pusat pembenihan adalah sebanyak hampir satu billion ekor atau 902,219 juta ekor.

Gambar Arkib Sebelum PKP

“Manakala sektor perikanan mencatatkan kenaikan pengeluaran hasil ikan sebanyak 5,133 metrik tan dengan nilai kira-kira RM80 juta.

“Peningkatan ini mencecah 13 peratus berbanding pada tahun 2019 iaitu 4,468 metrik tan,” katanya ketika berucap dalam siaran atas talian majlis pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Tambahnya, dalam usaha memperkayakan sumber perikanan, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang menyumbang dana tersendiri digabung jalin dengan peruntukan kerajaan pusat sejak tahun 2019.

Gambar Arkib Sebelum PKP

“Pada 2019 kerajaan telah memperuntukkan RM300 ribu untuk program pembinaan serta melabuh tukun tiruan dan unjam.

“Manakala RM200 ribu lagi diperuntukkan kerajaan persekutuan menjadikan keseluruhannya dalam RM500 ribu, tahun 2021, RM1.21 juta atau 4 gali ganda jumlah berbanding tahun sebelumnya telah diperuntukkan sebagai langkah meningkatkan ekonomi lautan rakyat.

“Jumlah tersebut akan memfokuskan projek pembinaan serta melabuh tukun tiruan dan unjam dan program pelepasan benih perairan umum,” ucapnya.