• 24 Nov 2020 | 8 Rabiul Akhir 1442

Sektor Perkhidmatan Penyediaan Makanan Antara Terjejas Teruk

KUALA TERENGGANU, 2 Julai -  Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Dato' Wira Mas Ermieyati Shamsudin mendedahkan sektor perkhidmatan penyediaan makanan antara yang paling terjejas teruk akibat penularan COVID-19 di seluruh dunia.

Katanya, sektor berkenaan mewakili 55.74 peratus daripada keseluruhan sektor yang terjejas.

"Ia diikuti sektor peruncitan (26.08 peratus); pembuatan (8.25 peratus); kontraktor kecil (5.91 peratus) serta pertanian dan perusahaan tani (4. 03 peratus).

"Bagaimanapun, setakat ini pihak kami tidak menerima aduan tentang usahawan yang terpaksa gulung tikar susulan wabak berkenaan.

"Saya percaya mereka tidak tutup kedai, tetapi berhenti sementara untuk stabilkan kembali perniagaan,"katanya pada sidang media selepas Program Turun Padang Bertemu Usahawan di Dataran Parkir Pmint di sini hari ini.

Menurut beliau, Medac melalui Tekun Nasional menyalurkan RM200 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Tambahan (Prihatin Tambahan) kepada usahawan mikro yang terjejas dengan harapan dapat membantu menaikkan kembali perniagaan masing-masing.

Tambahnya lagi, dibawah skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) ini disalurkan pembiayaan dengan nilai maksimum sehingga RM10,000 serta tanpa faedah dikenakan.

"Sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat Prihatin PKS bagi melaksanakan skim itu untuk syarikat mikro.

"Kita telah menerima 27,803 permohonan sejak skim CBRM dilancarkan pada 8 April lalu dengan anggaran nilai sebanyak RM 222.4 juta.

"Daripada jumlah itu, sehingga 29 Jun lalu, sebanyak 24,207 permohonan diluluskan dengan nilai RM181.4 juta," ujar beliau.

Sementara itu, di Terengganu, sebanyak 1,192 permohonan telah diluluskan dengan nilai RM9.2 juta.