• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

'Selesai Masalah Rakyat Dulu, Baru PRU'

KUALA TERENGGANU, 2 Jun- Menangani krisis yang dihadapi oleh rakyat terutamanya isu membabitkan masalah 'food security' adalah lebih utama berbanding memenuhi desakan segelintir pihak yang mahu diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, penyelesaian terhadap masalah rakyat dapat menjamin kestabilan negara pada ketika ini.

"Saya rasa ia sangat tidak bertanggungjawab apabila mengutamakan kepentingan diri dahulu berbanding rakyat dan negara secara keseluruhannya.

"Kemenangan yang terbesar adalah apabila kebajikan rakyat terbela dan bukan soal mana-mana parti yang menang, kalau bersungguh-sungguh mengutamakan keperluan rakyat kita akan menang bersama.

"Saya bimbang selama ini mereka perasan telah kuat sedangkan rakyat tidak berminat pun, sebagaimana yang telah berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu di Johor dan Melaka rakyat tidak ramai keluar mengundi kerana melihat ia tiada mendatangkan kepentingan rakyat melainkan hanya untuk kepentingan parti politik tertentu semata-mata" ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas melancarkan inovasi beca elektrik (e-BECA) di Dataran Shahbandar, di sini, pada hari ini.

Mengulas lanjut katanya, selama ini setiap kali mesyuarat kabinet antara perkara yang menjadi tumpuan adalah untuk memastikan kepentingan rakyat terpelihara dan negara dapat dipulihkan kembali.

"Kita belum pulih sepenuhnya lagi masih ada Majlis Pemulihan Negara belum lagi sampai kepada endemik sepenhnya, kerana itu pemakaian topeng masih diwajibkan.

"Saya rasa baiklah tumpuan sekarang ini diberikan kepada soal mentadbir negara sebaik-baiknya rata-rata rakyat secara umumnya mengharapkan agar pemerintahan diteruskan sehingga habis penggal sebelum mandat dikembalikan semula kepada rakyat,"ujarnya.