• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Seminar Antarabangsa Media, Komunikasi, Karyawan, Pelancongan, Seni Dan Warisan Mac Ini

Ghazali Taib bersama pemenang Pertandingan Fotografi Telusuri Terengganu di Hotel Rimba, Kuala Nerus. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim.
Kerajaan negeri bakal menganjurkan Seminar Antarabangsa Media, Komunikasi, Karyawan, Pelancongan, Seni dan Warisan melibatkan agensi-agensi dari dalam dan luar negara selama tiga hari pada Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, seminar antarabangsa yang pertama kali diadakan dengan kerjasama Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) bertujuan memberi peluang kepada agensi-agensi tersebut menyuarakan pendapat mereka.

Katanya, agensi yang terlibat antaranya Unit Komunikasi Negeri (UKOM), Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) serta Pertubuhan Karyawan Kreatif Terengganu Darul Iman yang akan berpeluang untuk membentangkan kertas kerja sepanjang seminar bagi memperkasakan lagi bidang komunikasi serta multimedia di Terengganu.

"Kita mahu melihat bagaimana agensi ini boleh menyampaikan misi dan visi mereka ke arah membangunkan bidang komunikasi negeri sekali gus memberi impak terhadap bidang lain misalnya ekonomi, politik, kebudayaan dan kesenian.

"Selain penggiat tempatan, kita turut menjemput peserta dari Brunei, Jepun, Korea, Singapura, India dan Eropah," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan hadiah pertandingan fotografi Telusuri Terengganu di Hotel Rimba, Kuala Nerus, semalam.

Pertandingan anjuran Pertubuhan Karyawan Kreatif Terengganu Darul Iman itu merupakan wadah kepada peminat seni fotografi untuk menzahirkan hasil karya mereka.

Walaupun kali pertama diadakan tetapi sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila hampir 200 gambar yang memaparkan pelbagai produk dan lokasi menarik di Terengganu diterima.

Tag: