KUALA TERENGGANU, 10 September- Penyokong-penyokong pasukan Terengganu FC berharap pengadil yang bakal mengemudi perlawanan akhir Piala FA 2022, esok tidak bertindak membunuh semangat bola sepak tempatan.
Penyokong dari Kampung Wakaf Dua, Muhd Shahrul Ikhwan Muda, 28, berkata, perlawanan akhir tersebut perlu dikendalikan dengan teliti oleh pengadil bagi menjaga prestij perlawanan berikutan banyak kontroversi melibatkan pengadil pada musim ini.
"Semoga pengadil lebih telus, amanah. Jangan asyik pakai pengadil yang sama dan sering kontroversi. Jangan bunuh semangat kesukanan.
"Kedua-dua penyokong pasukan datang dari jauh dan kami mahukan perlawanan yang adil serta penuh semangat sukan," katanya ketika ditemui di kampung berkenaan sebelum bertolak ke Kuala Lumpur, hari ini.
Tambahnya, semangat kali ini lebih membara kerana Terengganu FC akan menentang pasukan serba kuat, Johor DT.
"Lebih semangat sebab mereka pasukan yang berbeza berbanding lawan-lawan lain.
"Pemain pula biar bermain betul-betul, balas kepercayaan penyokong.
"Saya bawa seluruh keluarga, adik-beradik, isteri, ibu dan sepupu-sepupu seramai sembilan orang dan berhabis kos keseluruhan sekitar RM3,000 untuk perlawanan ini.
"Semoga pengorbanan penyokong-penyokong dibalas dengan kejayaan, menang 2-0 'padan doh'," katanya.
Dalam pada itu, penyokong dari Kampung Sahkaizar Ab Razak,43, pula mahukan kemenangan dari pasukan kesayangan mereka itu.
"Kita gembira boleh masuk final dan bertemu pula Johor DT, kita akan berlawan habis-habisan untuk menang.
"Harapan kami supaya pemain kita buat yang terbaik untuk perlawanan ini dan balas sokongan kami yang hadir memberi semangat.
"Kami bertolak malam ini sekitar jam 9-10. Dari Telaga Mengkudu sebuah bas sahaja. Tetapi setakat yang saya tahu, ada sekitar 30 bas dari sini," katanya.