• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Semua Taska Di HuluTerengganu Beroperasi Secara Sah

Norazmy menunjukkan contoh sijil Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata yang perlu dimiliki oleh pengusaha dan pengasuh taska


HULU TERENGGANU - Sebanyak 11 premis Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang beroperasi di Hulu Terengganu mendapat lesen yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pegawai JKM Hulu Terengganu, Norazmy Adenan berkata, tiada premis yang beroperasi secara haram di daerah itu berdasarkan pemantauan yang dilakukan dari semasa ke semasa.

Katanya, setiap taska yang ada mematuhi Akta Taman Asuhan 2007 dan mendapatkan kelulusan daripada tiga agensi teknikal iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kesihatan termasuk melepasi tahap lulus Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK) yang disertai pengasuh yang bekerja di taska masing-masing.

"Pihak JKM sentiasa membuat pantauan pengendalian operasi semua taska di daerah ini dan bagi taska yang berdaftar, mereka perlu mencapai tahap pemantauan pegawai kami.

"Sekiranya ada taska yang tidak menepati syarat atau melanggar peraturan maka pemantauan berkala akan dilaksanakan dan tindakan serta merta akan dikenakan antaranya arahan bertulis, penutupan, pembatalan lesen, menyita premis, kompoun dan pendakwaan,"katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan ke beberapa taska di sekitar Hulu Terengganu, di sini, hari ini.

Norazmy turut menasihatkan ibu bapa yang bekerja dan yang lebih suka menghantar anak mereka ke rumah pengasuh supaya memilih taska yang berlesen sebagai tempat menghantar anak ketika keluar bekerja sebagai langkah keselamatan.

"Pihak kami lebih suka anak-anak ini dihantar ke taska yang berdaftar kerana ia di bawah pemantauan JKM dan agensi yang berkaitan.

"Sehingga kini, masih belum terdapat sebarang kes yang tidak diingini berlaku di taska-taska di daerah ini seperti kejadian penderaan bayi dan mati akibat tersedak susu atau sebagainya," ujarnya lagi.

Tambah Norazmy, pihaknya juga akan memastikan mereka mematuhi syarat yang ditetapkan oleh JKM antaranya bilangan nisbah antara pengasuh dan kanak-kanak mestilah pada jumlah yang ditetapkan.

Katanya lagi, pengiraan nisbah yang perlu dipatuhi adalah jika umur bayi setahun ke bawah, seorang pengasuh perlu menjaga tiga bayi dan kanak berusia setahun hingga lima tahun pula, minimum lima orang kanak-kanak bagi setiap pengasuh.

Justeru itu, pengasuh termasuk pengusaha taska ini perlu mengikuti Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata untuk mendapat sijil pentauliahan.

Namun menurut Norazmy, JKM tidak menyekat mana-mana pihak yang membuka pusat asuhan di rumah tetapi perlu melaporkan kepada JKM untuk pemantauan sekiranya mengasuh lebih dari empat orang kanak-kanak.

Beliau turut memaklumkan jika ada orang awam atau ibu bapa yang mengesyaki ada unsur-unsur penderaan dan pengabaian boleh membuat laporan kepada JKM Hulu Terengganu atau terus kepada talian kasih di 15999.


Tag: