KUALA TERENGGANU, 24 Julai – Senator Hussin Ismail mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanggungjawab dan memberikan penjelasan terperinci berhubung kerugian pelaburan RM167 juta yang didakwa melibatkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
Menurut Ahli Dewan Negara Terengganu itu, kedudukan Anwar sebagai Menteri Kewangan menuntut beliau memastikan dana persaraan penjawat awam diurus secara telus dan dilindungi daripada kecuaian, ketirisan atau penyalahgunaan.
Hussin berkata keuntungan RM12 bilion yang dicatatkan KWAP tidak seharusnya digunakan untuk mengetepikan persoalan mengenai kerugian tersebut.
“Kenyataan PMX yang membandingkan keuntungan KWAP sebanyak RM12 bilion dengan kerugian RM167 juta tidak menjawab persoalan sebenar.
“Walaupun pelaburan dikendalikan golongan profesional dan turut melibatkan syarikat antarabangsa, wang tersebut tetap mengalami kerugian. Tidak boleh dinafikan kemungkinan berlakunya kecuaian atau kelemahan dalam pengurusan pelaburan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Hussin, prestasi keuntungan KWAP dan kerugian dalam pelaburan terbabit merupakan dua perkara berbeza yang tidak seharusnya dicampuradukkan.
Katanya, persoalan utama ialah bagaimana dana yang diamanahkan untuk kepentingan pesara boleh mengalami kerugian besar dan pihak mana yang perlu bertanggungjawab.
“Rakyat berhak mengetahui punca sebenar kerugian itu dan siapa yang harus dipertanggungjawabkan.
“Keuntungan RM12 bilion adalah satu perkara, manakala kerugian dana persaraan pula memerlukan penjelasan telus dan siasatan menyeluruh,” katanya.
Hussin berkata sekiranya kerugian itu berpunca daripada kelemahan tadbir urus, Kementerian Kewangan yang diterajui Anwar perlu mengambil tanggungjawab.
“Apa tindakan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan untuk memastikan wang pesara yang hilang akibat kecuaian dapat diperoleh semula atau diganti?.
“Perdana Menteri tidak boleh sekadar membandingkan jumlah kerugian dengan keuntungan keseluruhan KWAP. Beliau perlu bertanggungjawab dan menjelaskan langkah penyelesaian,” tegasnya.
Sehubungan itu, Hussin menggesa kerajaan mendedahkan punca kerugian, tindakan terhadap pihak yang terlibat serta langkah kawalan yang akan dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Katanya, penjelasan menyeluruh diperlukan bagi memelihara keyakinan rakyat terhadap keselamatan dana persaraan dan pengurusan wang awam.