lightning-solid
Berita :
Sentiasa Matang Dalam Hadapi Konflik
Sentiasa Matang Dalam Hadapi Konflik
Noraini Jusoh
3 jam yang lepas
43

Oleh: Fatimah Din

MARANG, 12 Februari – Pembinaan komuniti yang baik tidak bermakna bebas sepenuhnya daripada perbezaan pandangan, sebaliknya menuntut sikap matang dalam menyelesaikan konflik tanpa memanjangkan perselisihan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, menjadi tanggungjawab bersama membina komuniti yang harmoni, saling memahami dan mudah bergaul demi kesejahteraan bersama.

“Kita nak bina komuniti yang harmoni, yang mudah ‘gi mari’, bukan bermaksud tidak bergaduh langsung, tetapi tidak sampai memanjangkan pergaduhan hingga tujuh keturunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Mahabbah dan Bacaan Yaasin yang berlangsung di Masjid Kampung Jerung Seberang di sini, baru-baru ini.

Program itu melibatkan penduduk dari tiga kampung iaitu Kampung Temiang, Kampung Jerung Seberang dan Kampung Bukit Cempedak.

Menurut beliau lagi, sikap prihatin dan saling mengambil tahu antara satu sama lain amat penting dalam memastikan kebajikan masyarakat terus terbela. 

“Jika ada masalah dalam kalangan kita, maklumkan. Kita bantu dan bincang bersama. Soal bantuan pula, jika seseorang itu layak dan berhak, kita akan salurkan,” jelasnya.

 Program tersebut turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah serta penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf terpilih, sebagai usaha meringankan beban dan memperkukuh ikatan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

Selain Majlis Mahabbah dan Bacaan Yaasin, pelbagai aktiviti lain turut dianjurkan termasuk rawatan syifa’, ziarah rakyat, solat dhuha dan munajat, liga penalti tiga lawan tiga, kuliah maghrib serta bowling beliawanis di bawah program bulanan ADUN Pengkalan Berangan, YB Cakna Komuniti Sejahtera, bagi peringkat tiga kampung berkenaan.


Tag :

Artikel Berkaitan