• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Sentuh Sensitiviti Umat Islam, Pemuda PAS Lapor Polis

KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Saranan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Khoo Ham untuk melantik pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri bagi menggubal Undang-Undang Islam dilihat sengaja menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Iryad Syafiq Burhanuddin berkata, kenyataan pemimpin DAP itu berkenaan dilihat sengaja mencabar undang-undang perlembagaan serta bersikap biadap.

"Ia juga turut menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja), saya kira ia satu kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan kerana menyentuh sensitiviti umat Islam dan bangsa Melayu.

"Sebagai pemimpinan dalam mana-mana parti poltik dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan (sebarang) ucapan (Kenyataan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas mewakili DPPNT membuat laporan berkait isu berkenaan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, isu tersebut juga telah mendapat respons daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar rakyat yang bukan beragama Islam menghormati dan tidak mencampuri urusan berkait hal ehwal Islam di negara ini.

"Sebagaimana kita semua tahu bahawa agama Islam merupakan agama rasmi dalam perlembagaan, sepatutnya ia tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak," katanya.

Sehubungan dengan itu juga beliau mengharapkan agar pihak polis serta pihak yang berkuasa untuk menyiasat perkara tersebut kerana ia merupakan perkara yang serius dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

"Sekiranya disabitkan kesalahan, kena buat sesuatu termasuk mengambil tindakan tegas supaya perkara ini tidak dipandang ringan oleh mana-mana pemimpin," tegasnya.