Jalur Gemilang
Berita :
SG4 Perkukuh Ekonomi Empat Negeri, Sasar Pelaburan Bernilai Tinggi
SG4 Perkukuh Ekonomi Empat Negeri, Sasar Pelaburan Bernilai Tinggi
Husaif Mamat
39 minit yang lepas
43

KUALA LUMPUR, 23 Oktober – SG4 Group Sdn Bhd berhasrat menyatukan kekuatan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis bagi membangunkan sebuah wilayah ekonomi yang lebih bersepadu, berdaya saing serta menarik pelaburan bernilai tinggi.

Pengerusinya, Prof Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pendekatan itu akan menghubungkan kelebihan setiap negeri melalui penyelarasan pembangunan, pengukuhan rantaian bekalan, perkongsian kepakaran dan kerjasama pelaburan.

Menurutnya, usaha tersebut bukan hanya bertujuan menarik pelabur, sebaliknya memastikan pelaburan yang dibawa masuk memberikan manfaat berpanjangan kepada rakyat.

“Keutamaan kami bukan semata-mata menarik pelaburan, tetapi memastikan setiap pelaburan menghasilkan nilai ekonomi yang berkekalan, mewujudkan pekerjaan berkualiti, memperkasa perusahaan tempatan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis. 

Beliau berkata demikian sempena penganjuran SG4 Business & Economic Forum 2026 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 26 Oktober ini.

Bertemakan ‘Four States. One Economic Vision’, forum itu akan menghimpunkan kepimpinan kerajaan, wakil diplomatik, pelabur institusi, pemimpin korporat, pakar ekonomi, institusi kewangan, pemain industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Haim Hilman berkata, keempat-empat negeri mempunyai kekuatan tersendiri yang boleh digabungkan untuk meningkatkan daya tarikan wilayah berkenaan kepada pelabur domestik dan antarabangsa.

Katanya, kekuatan itu merangkumi kedudukan geografi yang strategik, sumber semula jadi, pembangunan kawasan perindustrian, potensi mineral kritikal, ekosistem semikonduktor serta sektor pertanian, pelancongan dan perusahaan tempatan.

“SG4 bukan sekadar kerjasama antara empat negeri, tetapi suatu gagasan ekonomi yang berhasrat mentransformasikan potensi wilayah kepada kekuatan ekonomi sebenar.

“SG4 mahu beralih daripada pendekatan pembangunan yang bergerak secara berasingan kepada suatu kerangka kerjasama ekonomi wilayah yang lebih tersusun, progresif dan berorientasikan hasil,” ujarnya.

Menurutnya, ketidaktentuan geopolitik, perubahan rantaian bekalan, persaingan teknologi dan peralihan kepada ekonomi rendah karbon turut menuntut pendekatan pertumbuhan yang lebih tangkas serta berdaya tahan.

Sehubungan itu, forum berkenaan akan memberi tumpuan kepada prospek pertumbuhan ekonomi global, pembiayaan mampan, pembangunan industri semikonduktor, penerokaan potensi mineral kritikal serta pengukuhan daya saing dan pengembangan PKS.

Beliau berkata, forum tersebut diharapkan dapat membuka ruang kepada pembentukan jaringan pelaburan, perkongsian strategik dan kerjasama komersial yang boleh diterjemahkan kepada projek berimpak tinggi.

Dalam jangka panjang, SG4 menyasarkan untuk menjadi destinasi pelaburan yang diyakini, hab pertumbuhan industri bernilai tinggi serta pusat pembangunan bakat dan keusahawanan yang mampu bersaing dalam ekonomi global.

Katanya, usaha itu akan disokong dengan tadbir urus korporat yang profesional, kerjasama sektor swasta, pembangunan projek berdaya maju secara komersial serta pelaksanaan inisiatif yang mempunyai impak jelas dan boleh diukur.

Pembangunan modal insan, pemerkasaan usahawan tempatan dan penyertaan generasi muda dalam sektor ekonomi masa hadapan turut diberi perhatian.

“Kejayaan sebenar pembangunan ekonomi bukan hanya diukur melalui jumlah pelaburan yang berjaya ditarik, tetapi melalui sejauh mana pertumbuhan tersebut mampu mencipta peluang, meningkatkan pendapatan dan membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.

Beliau turut mengundang pelabur, pemimpin industri, institusi kewangan, komuniti perniagaan serta rakan strategik dari dalam dan luar negara untuk menyertai forum tersebut.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi https://bef.sg4.com.my/.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan