• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Sidang DUN : Portal e-Learning Perkasa Pendidikan Norma Baharu

KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu telah mengambil beberapa langkah yang proaktif bagi memperkasakan sektor pendidikan di Terengganu selaras dengan budaya norma baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, Portal e-Learning Terengganu yang dilancarkan pada bulan Mei 2020 lalu sehingga 3 November 2020, mencatatkan 67 aktiviti secara dalam talian melibatkan 20,876 orang peserta.

Katanya, antara aktivitinya adalah meliputi penganjurkan pelbagai webinar, bengkel, sesi perkongsian dan kursus secara dalam talian melalui portal tersebut.

“Terdapat banyak bahan pengajaran dan pembelajaran yang dibangunkan oleh guru-guru ditempatkan dalam portal berkenaan yang boleh diakses oleh semua guru dan murid-murid sekolah rendah dan menengah di negeri Terengganu.

“Pada masa sama, kerajaan turut menggalakkan bahan pembelajaran (softcopy) kepada murid murid menggunakan kemudahan media sosial seperti aplikasi Telegram, Whatsapp, e-mel dan lain-lain lagi.

“Bekalan bahan pembelajaran (hardcopy) secara fizikal kepada murid-murid melalui serahan tangan atau dipungut di stesen-stesen yang disediakan oleh pihak sekolah. Contoh, seperti SMK Pengkalan Berangan yang menyediakan bahan-bahan pembelajaran di sebuah pondok di luar pagar sekolah untuk diakses oleh murid-murid atau penjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet) semalam.

Satiful turut berkata, Jabatan Pendidikan Negeri juga bekerjasama dengan radio Terengganu FM untuk mengadakan sesi bersama sama Guru AKRAM Bahasa Melayu, Sejarah dan Sains yang bersiaran semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).