• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Sidang DUN : UC TATI Cadang Buka Kampus Di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 23 November - Kolej Universiti TATI (UC TATI) merancang untuk membuka kampus baharu di Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, UC TATI sekarang ini sedang berusaha untuk mewujudkan kampus yang menawarkan kursus bersesuaian dengan persekitaran bandar raya ini.

“Perancangan tersebut merupakan salah satu usaha untuk menambah bilangan pelajar dan berdikari dari segi sumber kewangan di mana ketika ini UC TATI masih bergantung kepada sumber kewangan kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Hilmi Harun (PAS-Manir) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Satiful berkata, UC TATI juga giat mengadakan kempen dan promosi secara atas talian dan turun padang untuk menarik lebih ramai pelajar menyambung pengajian di kolej universiti tersebut.

“Seperti universiti-universiti teknikal lain, masalah kekurangan pelajar antaranya disebabkan pelajar lepasan SPM khususnya tidak berminat untuk memilih jurusan membabitkan pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM),” ujarnya.

Justeru katanya, pelbagai usaha dirancang oleh pentadbiran UC TATI antaranya akan menambah kursus diploma atau ijazah yang menjadi keperluan dan diminati pelajar.

Sementara itu katanya, sekiranya mampu menarik 3,000 pelajar UC TATI mampu berdikari dan tidak lagi bergantung kepada kerajaan negeri.

“Kapasiti pelajar di kampus sedia ada adalah sebanyak 3,500 hingga 5,000 pelajar. Sekarang ini, kita mempunyai seramai 1,305 pelajar dan sedang berusaha untuk menambah bilangan  pelajar dari semasa ke semasa,” ujarnya.