Berita :
Sifar Miskin Tegar 2025: Kejayaan Program Basmi Kemiskinan Atau Hanyalah 'Tukar Atas Kertas'?
Sifar Miskin Tegar 2025: Kejayaan Program Basmi Kemiskinan Atau Hanyalah 'Tukar Atas Kertas'?
Hidayah Azlin
1 hari yang lepas
73

TERENGGANU , 5 Julai – Persoalan besar timbul dalam kalangan masyarakat dan kepimpinan negeri berhubung status kemiskinan tegar di Malaysia yang direkodkan mencecah angka sifar menjelang tahun 2025 berdasarkan data rasmi sistem eKasih.

Isu ini menjadi perbincangan hangat susulan maklum balas kritikal daripada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menerusi satu hantaran di laman media sosial rasmi beliau.

Beliau secara terbuka mempersoalkan adakah penurunan mendadak statistik tersebut merupakan satu indikator sebenar keberkesanan program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan, atau sekadar perubahan takrifan dan definisi miskin tegar yang sengaja diubah 'di atas kertas'.

"Berdasarkan data ini, tiada lagi kemiskinan tegar di Malaysia dan negara kita telah mencapai tahap sifar miskin tegar. Apakah ia indikator keberkesanan program basmi kemiskinan atau definisi miskin tegar yang diubah di atas kertas?" soal beliau dalam kenyataan tersebut.

Berdasarkan dokumen yang dikongsikan bertajuk "Jadual 1: Statistik Miskin Tegar Tahun 2022 Sehingga 2025" yang merujuk kepada rekod sistem eKasih, jumlah ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara menunjukkan trend penurunan yang sangat drastik.

Pada tahun 2022, jumlah miskin tegar di seluruh negara dicatatkan sebanyak 124,578 kes dengan negeri Sarawak mencatatkan angka tertinggi iaitu 30,372, diikuti Sabah sebanyak 22,335 kes. Bagaimanapun, jumlah keseluruhan itu menyusut kepada 91,789 kes pada tahun 2023, sebelum menjunam secara luar biasa kepada hanya 1,793 kes pada tahun 2024.

Apa yang mengejutkan, unjuran atau data bagi tahun 2025 memaparkan angka '0' bagi setiap negeri di Malaysia, sekali gus menggambarkan negara telah bebas sepenuhnya daripada belenggu kemiskinan tegar dalam tempoh yang sangat singkat.

Di Terengganu sendiri, rekod menunjukkan terdapat 5,793 kes miskin tegar pada 2022, meningkat sedikit kepada 6,567 pada 2023, sebelum menurun kepada 124 pada 2024 dan akhirnya mencapai angka sifar pada 2025.

Persoalan yang dibangkitkan oleh Dr. Azman ini mencerminkan suara kegusaran ramai pihak di peringkat akar umbi. Rakyat mempersoalkan sama ada status sifar ini benar-benar selari dengan realiti kos sara hidup semasa, atau sekadar pencapaian KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kementerian yang diubah suai melalui kaedah pengiraan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Sehingga kini, pihak kementerian berkaitan diharapkan dapat memberikan penjelasan lanjut berhubung metodologi yang digunakan bagi memastikan data eKasih tersebut benar-benar mencerminkan taraf hidup sebenar rakyat marhaen di lapangan, dan bukannya sekadar statistik indah di atas kertas.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan