lightning-solid
Berita :
Sifu Repair Jeans Gong Nangka Bakal Terima Mesin Jahit Baharu
Sifu Repair Jeans Gong Nangka Bakal Terima Mesin Jahit Baharu
Hidayah Azlin
8 jam yang lepas
63

SETIU, 9 Julai – Nasib seorang tukang jahit dari Kampung Gong Nangka, Mohd Zaki Abd Hadi, 58, mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim selepas mesin jahit yang menjadi punca pendapatannya sebelum ini dilaporkan mengalami kerosakan.

Dr Azman menyatakan komitmennya untuk menyegerakan bantuan mesin jahit baharu bagi membolehkan lelaki yang mesra disapa Abe Mat itu kembali menyara kehidupan.

Menurut beliau, Abe Mat mempunyai kepakaran khusus dalam membaiki pakaian berasaskan fabrik tebal seperti seluar jeans.

"Abe Mat nak minta mesin jahit. Mesin sedia ada sudah rosak. Kepandaian Abe Mat boleh baiki seluar jeans.

"Insya-Allah, Abe Mat, saya uruskan segera," katanya selepas menziarahinya di kediaman, di sini.

Dalam pada itu, Dr Azman yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri sempat berseloroh mengenai kemahiran unik yang dimiliki oleh tukang jahit berkenaan.

"Cuma seluar jeans saya belum ada. Kena beli juga sehelai, baru boleh datang baiki dengan Abe Mat," katanya.

Inisiatif berkenaan mendapat maklum balas positif daripada rata-rata penduduk setempat yang memuji keprihatinan wakil rakyat tersebut dalam menyantuni keperluan segera golongan peniaga kecil di kawasan DUN Jabi.


Tag :

Artikel Berkaitan