Jalur Gemilang
Berita :
Simposium Wanita Rungkai Kekeliruan Berkaitan Darah Kaum Hawa
Simposium Wanita Rungkai Kekeliruan Berkaitan Darah Kaum Hawa
Noraini Jusoh
3 jam yang lepas
46

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Simposium Wanita: Fiqh Darah Wanita Menurut Mazhab Imam As-Syafie menjadi platform penting dalam memberi kefahaman kepada golongan muslimat mengenai hukum berkaitan darah wanita.

Timbalan Pengarah Operasi, Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Wan Ahmad Zuki Wan Ismail berkata, ia memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan daripada individu berkemahiran dalam bidang tersebut khususnya berkaitan situasi yang memerlukan kefahaman mendalam mengenai hukum fikah.

“Ilmu berkaitan darah wanita perlu terus dipelajari dan disampaikan kerana isu ini sentiasa berbangkit terutama apabila wanita berhadapan dengan situasi baharu yang memerlukan panduan hukum,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Wanita: Fiqh Darah Wanita Menurut Mazhab Imam As-Syafie di Dewan Auditorium, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Program yang menampilkan Pendakwah, Ustaz Abu Usamah Mohd Hanafiah Hussin itu membincangkan pelbagai kekeliruan berkaitan darah kaum hawa khususnya hukum-hakam haid, nifas, istihadah dan perkara berkaitan yang sering menjadi persoalan dalam kalangan wanita.

Mengulas lanjut katanya, walaupun pelbagai sumber maklumat boleh diakses pada masa kini termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya persoalan berkaitan darah wanita tidak semestinya dapat dijawab dengan tepat melainkan dengan merujuk kepada individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu.

“Bukan semua orang walaupun bergelar ustaz mampu menghuraikan persoalan berkaitan darah wanita. Sebab itu, kita bersyukur kerana mempunyai ilmuan seperti Al-Fadhil Ustaz Abu Usamah yang bersedia berkongsi ilmu ini.

“Ilmu yang dipelajari hari ini diharap bukan sahaja untuk kegunaan sendiri malah dapat menjadi panduan kepada rakan-rakan lain apabila timbul persoalan berkaitan sesuatu hukum,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan