• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

SKMM Laksana Program 'Menghubung Dan Menyatu' Pastikan Setiap Rakyat Miliki Akses Internet



Program ‘Menghubung Dan Menyatu’ sebagai satu inisiatif kerajaan yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau National Blue Ocean Strategy (NBOS) bagi memastikan setiap rakyat terutamanya di luar bandar mempunyai akses internet menjelang 2020.

Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Dato' Jailani Johari berkata, ini bagi mewujudkan masyarakat bermaklumat dan terhubung serta meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.

Jelasnya lagi, Program Menghubung mempunyai dua elemen penting iaitu ‘digitising and humanising’ atau dalam bahasa Melayu ‘ mendigitalkan dan merakyatkan penyampaian perkhidmatan komunikasi bagi melahirkan masyarakat luar bandar yang maju.

"Bagi masyarakat di Hulu Terengganu, SKMM sedang giat menaik taraf perkhidmatan selular 2G kepada 3G/4G/LTE yang melibatkan sejumlah 10 lokasi di dalam daerah yang sedia ada untuk memastikan mereka mendapat perkhidmatan komunikasi terbaik.

"Ini termasuklah satu menara di Kampung Basung yang telah beroperasi di bawah kendalian syarikat Digi Telecommunications yang  akan dinaik taraf dari 3G kepada 4G/LTE tidak lama lagi,"katanya.

Jailani berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Menghubung dan Menyatu di Kampung Basung, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata SKMM juga giat memperluaskan lagi jangkauan liputan di sepanjang laluan utama seperti Kuala Berang – Aring yang akan turut memberi manfaat kepada pengguna laluan tersebut termasuk penduduk kampung sekitar.

Kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat ini telah membangunkan sejumlah 136 menara pemancar telekomunikasi di seluruh  Terengganu.

Katanya lagi, bagi memperkasakan masyarakat luar bandar dengan kemahiran di bidang ICT, SKMM telah membangunkan kemudahan internet jalur lebar dengan sejumlah 15 buah Pusat Internet 1Malaysia (Pi1M) telah dan sedang dibina di sekitar Hulu Terengganu.

"Keberkesanan Pi1M Kampung Chapu di dalam membantu usahawan tempatan Kampung Basung jelas terbukti melalui kisah kejayaan Saudara Azri bin Mamat yang mengusahakan produk Jeruk Mentimun yang kini telah berjaya dipasarkan di peringkat antarabangsa seperti di Timur Tengah.

"Ini sebagai bukti kejayaan Pi1M uang membolehkan mereka mendapat maklumat dengan cepat, menjalankan perniagaan dalam talian, berhubung dengan lebih pantas dan cepat di antara  satu sama lain di samping meningkatkan jalinan dan jaringan kerja serta menjana pendapatan, "tambah Jailani.

Tag: