• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

SKMM Minta Telco Sedia Alat Biometrik



Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM)mengarahkan
Syarikat Telekomunikasi (Telco) supaya menyediakan peralatan biometrik untuk mengambil cap jari pengguna termasuk warga asing yang ingin membeli kad sim prabayar dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Jailani Johari berkata, beberapa Telco didapati sudah mengambil tindakan dengan  menggunakan sistem biometrik sejak isu ini di ketengahkan baru- baru ini.

"Saya dapati beberapa Telco telahpun bertindak sebenarnya untuk mendaftar pembeli kad sim prabayar dengan menggunakan sistem biometrik ini dan termasuklah mengekalkan kaedah lama iaitu mendaftarkan pembeli menggunakan kad pengenalan tetap.

"Sistem biometrik ini mampu mengesan mereka yang melakukan kegiatan jenayah menggunakan telefon bimbit dan membantu agensi penguatkuasa mengesan ketulinan dokumen itu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Menghubung dan Menyatu di Kampung Basung, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini mengenai cadangannya mensyaratkan pembeli kad sim prabayar akses komunikasi untuk mendaftar menggunakan cap jari.

Cadangan tersebut adalah ekoran pendedahan sebuah akhbar tempatan yang telah mendedahkan kegiatan penjualan kad sim prabayar tanpa memerlukan sebarang pengenalan bagi tujuan pendaftaran.

Dalam laporan akhbar tempatan tersebut,Jailani berkata sebanyak tujuh Telco sudah dikenakan tindakan atas kesalahan gagal membuat pengesahan ke atas dokumen asal bagi tujuan pendaftaran kad sim pra bayar.

Menurut Jailani lagi, SKMM telah mengeluarkan 32 kompaun yang bernilai RM1.57 juta ke atas tujuh syarikat berkenaan sehingga November tahun lalu mengikut Seksyen 242, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana melakukan kesalahan membuat pendaftaran maklumat palsu.




Tag: