• 28 Okt 2020 | 11 Rabiul Awal 1442

Skuad Khas Cegah Perbuatan Maksiat Di Drawbridge

KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu telah menggerakkan skuad khas bagi memantau setiap kelakuan pengunjung di sekitar jambatan angkat susulan dakwaan orang ramai mengenai kewujudan aktiviti tidak bermoral di kawasan terbabit.

Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Shukri Faiz Jusoh berkata, dakwaan tersebut dipandang serius pihaknya kerana boleh mendatangkan pelbagai masalah termasuk persepsi daripada masyarakat luar.

“Pasukan ini bagi meninjau orang ramai selepas penularan terdapat beberapa kondom di sekitar tapak pembinaan bangunan baharu Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) dan tempat parkir kereta sekitar Drawbridge.

“Ketua Unit bersama enam anggota Pegawai Penguatkuasa Syariah Daerah Kuala Terengganu telah dan akan sentiasa membuat rondaan dan pemantauan di tempat yang disyaki itu,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Mengulas lanjut, sepanjang rondaan yang bermula jam 10 malam sehingga 6pagi di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu baru-baru ini, pihaknya tidak mengesan sebarang sebarang kes kesalahan jenayah syariah.

“Bagaimanapun rondaan ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan rakyat Terengganu tidak melakukan aktiviti yang tidak bermoral.

“Kami akan tinjau di beberapa lokasi berbeza dan akan dilakukan setiap hari,” tambah beliau.


Tag: