Berita :
SOIL2026 Tingkat Nilai Pertanian Tradisi
SOIL2026 Tingkat Nilai Pertanian Tradisi
Mohd Irsyadi Abu Bakar
4 jam yang lepas
50

KUALA NERUS, 7 April - Kerajaan Terengganu menyambut baik penganjuran Persidangan Antarabangsa Sains Tanah 2026 (SOIL2026) yang bermula hari ini sehingga 9 April dan berharap segala dapatan dan kajian yang dimeterai dalam persidangan tersebut dapat memberi manfaat kepada pengusaha pertanian tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr Azman Ibrahim berkata, penganjuran itu seiring dengan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030, yang digariskan untuk menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri pengeluar makanan.

"Terengganu sangat unik kerana kita memiliki tanah BRIS (Beach Ridges Interspersed with Swales) yang sangat luas dan ini salah satu yang akan diberikan penekanan dalam persidangan ini.

"Terima kasih kepada penganjur SOIL2026 yang berkunjung ke Terengganu selepas 10 tahun, iaitu pada diadakan kali terakhir tahun 2016 (di sini).

"Persatuan Sains Tanah Malaysia (MSSS) ini telah berusia 55 tahun.

"Fokusnya kepada satu aset yang sangat berharga iaitu tanah, yang merupakan aset senyap kita.

"Jadi, memahami aset ini sangat penting supaya kita boleh memanfaatkan dengan sebaiknya sumber yang ada dalam banyak segi," katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Menteri Besar Terengganu merasmikan program itu di Raia Hotel & Convention Centre, hari ini.

Tambahan pula menurutnya, ketika ini orang bercakap tentang keterjaminan makanan dalam dunia berhadapan perang, perubahan klimaks, suhu panas melampau dan sebagainya. 

"Banyak pendekatan saintifik yang perlu kita gunakan kerana Allah SWT sediakan bumi untuk diuruskan sebaiknya.

"Kerajaan membuat polisi, universiti membuat kajian dan akhirnya petani-petani kita akan melaksanakan dapatan kajian ini di lapangan.

"Jadi rantaian ini adalah rantaian penting yang tidak boleh terputus agar sistem kita akhirnya sampai kepada matlamat," katanya.

SOIL2026 akan berlangsung selama tiga hari melibatkan penyertaan 131 peserta dari pelbagai negara.

Program berkenaan juga berjaya menarik 25 peratus penyertaan antarabangsa, termasuk wakil dari Thailand, Indonesia, Papua New Guinea, Bangladesh dan Nigeria.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan